KPC Nafi Laut Berwarna Merah Berpunca Dari Limpahan Bauksit


KUANTAN – Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) semalam menafikan air Sungai Balok dan air laut Pantai Batu Hitam bertukar merah baru-baru ini berpunca dari limpahan bauksit dari pelabuhan kendaliannya.

Ketua Pegawai Operasi KPC, Datuk Khasbullah A Kadir berkata KPC mempunyai sistem kawalan dan penapisan air yang sistematik untuk memastikan setiap air yang mengalir ke Sungai Penggorak seterusnya ke laut tidak tercemar dengan bauksit.

“Hujan lebat pada 28 Dis lepas telah menyebabkan tiga besi penapis kita roboh kerana tidak mampu menampung limpahan air yang begitu banyak.

“Namun dalam masa yang sama, kita masih mempunyai sistem gabion/filter yang berfungsi menapis semua kotoran daripada mengalir ke Sungai Penggorak.

“Sehubungan itu adalah tidak benar sama sekali kononnya kejadian air laut merah di Sungai Balok dan Pantai Baru Hitam berpunca dari pelabuhan.

“Ini kerana Sungai Penggorak datang dari punca air yang berbeza dan terletak jauh dari Sungai Balok serta Pantai Batu Hitam yang tercemar dalam kejadian itu,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar berhubung perkara itu.

Beliau berkata ini dapat dibuktikan menerusi gambar yang diambil pada waktu kejadian pada 29 Dis lepas yang menunjukkan kawasan laut di sekitar Pelabuhan Kuantan adalah biru dan hanya kelihatan sedikit merah di kawasan dermaga.

Kejadian air Sungai Balok dan air Laut Pantai Batu Hitam menjadi merah mendapat perhatian pelbagai pihak setelah gambar mengenai perkara itu menjadi viral di media sosial.

Perkara itu menimbulkan keresahan rakyat yang mahukan aktiviti perlombongan itu dihentikan.

Sementara itu dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran ketika aktiviti mengangkut bauksit, Khasbullah berkata pihaknya akan memperkenalkan ‘sistem conveyer’ iaitu kaedah mengangkut bauksit dari lori terus ke kapal.

Projek ini melibatkan kos kira-kira RM120 juta.

Sebuah syarikat tempatan telah dikenalpasti untuk melaksanakan projek itu.

Mereka dijangka dapat menyiapkan projek sebelum musim tengkujuh akhir tahun ini, katanya.

KPC juga akan menggunakan laluan baru bagi mengangkut bauksit ke Pelabuhan Kuantan yang dilihat bukan sahaja mampu mengurangkan pencemaran tetapi juga mengatasi isu keselamatan akibat lalu lintas lori-lori bauksit.

Beliau berkata, laluan sepanjang tujuh kilometer itu akan menggunakan laluan landasan keretapi lama dari Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP2) ke Pelabuhan Kuantan.

Menyentuh isu eksport bauksit, Khasbullah berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghad kuota eksport bahan itu dari pelabuhan itu.

“Tiga bulan terakhir tahun lepas secara purata kita mengeksport sebanyak 3.5 juta tan metrik bauksit dari pelabuhan ini.

“Jumlah itu meliputi 70 peratus daripada 4.3 juta tan metrik pelbagai kargo yang kita eksport dari pelabuhan ini.

“Selagi mempunyai permintaan (untuk mengeksport), kita sebagai operator pelabuhan akan terus melakukan kegiatan ini (eksport bauksit).

“Kita tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menghad bilangannya,” katanya. – BERNAMA