KPDNKK Mahu Syarikat Pengangkutan Awam Segera Turunkan Harga Tiket

ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta syarikat pengangkutan awam menurunkan harga tiket bagi mengurangkan beban rakyat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini boleh dilakukan memandangkan trend harga minyak dunia yang semakin menurun sejak akhir-akhir ini.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
Beliau berkata pengusaha syarikat pengangkutan seperti bas boleh menurunkan harga tiket lebih daripada RM1.

“Syarikat pengangkutan perlu menghargai pelanggan mereka dengan menurunkan harga tiket.

“Kita tahu pengguna terbeban dengan kenaikan kos sara hidup termasuk kos pengangkutan,” katanya selepas perasmian Ulang Tahun ke-5 Syarikat Bas Inter City Coach di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata selain itu syarikat terbabit juga boleh memberi diskaun harga tiket kepada pelanggan sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Kalau ada yang buat tempahan awal mereka akan diberi diskaun. Seperti yang dilakukan oleh syarikat bas Inter City Coach, mereka beri diskaun kepada pelanggan yang tempah tiket lima hari sebelum,” katanya. – BERNAMA