KUALA LUMPUR - Trend penggunaan gajet elektronik dan media sosial
didapati mampu menjadi penyebab penceraian, kata seorang pakar keluarga.
Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof
Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata aplikasi seperti WhatsApp boleh
menjadi platform untuk pasangan muda meluahkan perasaan marah apabila
berhadapan konflik rumah tangga.
"Apabila masing-masing merasa marah, lalu menghantar mesej dalam
WhatsApp misalnya. Ia boleh menimbulkan intonasi suara dan hasrat yang
berbeza, disusuli persepsi negatif si penerima yang berlawanan dengan
niat sebenar si penghantar mesej," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar bahawa kadar penceraian masyarakat Islam
di Malaysia semakin membimbangkan dengan lebih 274,000 pasangan bercerai
dalam tempoh enam tahun lalu.
Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia juga menunjukkan 38,035
pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu yang
secara purata terdapat 156 pasangan Islam bercerai setiap hari.
Mariani berkata di zaman canggih ini, penggunaan WhatsApp juga boleh
mendorong kepada perbuatan curang yang mana perkenalan biasa antara
lelaki dan wanita menerusi aplikasi media sosial boleh membawa kepada
perhubungan mesra hingga melupakan batas pergaulan.
"Penggunaaan media sosial seperti Facebook dan Instagram juga boleh
membawa kepada hubungan yang tidak baik antara suami isteri kerana
masing-masing mungkin tidak menjaga sensitiviti perhubungan mereka
dengan memuat naik status dan gambar masing-masing yang tidak
bersesuaian, untuk tatapan orang lain," katanya.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof
Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan perceraian yang melibatkan
156 kes setiap hari adalah sangat tinggi dan wajib menyedarkan semua
pihak terutama bagi pasangan yang mahu berkahwin mengenai kepentingan
menjaga keharmonian rumah tangga.
Beliau berkata pasangan seharusnya tahu dan faham bahawa setiap
perceraian akan memberi gangguan kepada sistem diri anak-anak dan
keluarga mereka termasuk soal kerjaya masing-masing.
"Pasangan sebaiknya mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang komunikasi
berkesan iaitu cara pengurusan konflik, pengendalian krisis, psikologi
keluarga dan pengurusan persepsi yang berkesan," katanya.
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Saedah Abdul
Ghani berkata kursus praperkahwinan yang diwajibkan kepada pasangan yang
akan bernikah perlu disusun semula mengikut kesesuaian gaya hidup
golongan muda yang semakin berubah.
"Pengisian dan intipati kursus perlu menitikberatkan pelbagai aspek
berkaitan psikologi perkahwinan, kanak-kanak dan remaja selain kemahiran
menangani konflik rumah tangga," katanya.
Beliau mencadangkan universiti turut menyediakan program pengajian berkaitan kaunseling keluarga dan perkahwinan kepada pelajar. -Bernama