Lebih 7,000 Hadir Ijtimak Nafi Dakwaan PAS Hilang Sokongan Di Selangor

Ir. Mohd. Haslin Hassan
KUALA LUMPUR – Lebih 7,000 peserta menghadiri Ijtimak Pilihanraya PAS Selangor semalam sekali gus mengenepikan dakwaan penyokong Pakatan Harapan kononnya PAS telah hilang sokongan apabila menjalin kerjasama dengan UMNO.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor, Ir. Mohd. Haslin Hassan berkata, ahli dan penyokong PAS yang hadir memberi sokongan padu hadir ke atas ijtimak berkenaan.

“Dengan kehadiran melebihi 7,000 peserta membuktikan kepada semua bahawa Jentera Pilihanraya PAS Selangor kini bersedia mendepani cabaran Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Visi Jabatan Pilihanraya PAS Selangor menempuhi PRU14 nanti adalah untuk mempertahan kemenangan di 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sewaktu PRU13,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad semalam menegaskan Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pakatan Harapan adalah musuh politik PAS terutama di negeri itu.

Malah, katanya, PAS akan bertanding di 25 kerusi DUN di Selangor walaupun dipujuk oleh Pakatan Harapan supaya memberi laluan kepada PAN untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu. –Kedahnews.com