Lelaki Cuba Bunuh Diri Ditenangkan Dengan Laungan Azan

Seorang penganggur lelaki nekad bunuh diri mahu terjun ke dalam sebatang sungai, namun cubaannya itu gagal apabila dia berjaya diselamatkan oleh Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Islam Kerian (PSKK).

Sebelum bertindak sedemikian, lelaki terbabit sempat mengirimkan mesej memberitahu niatnya mahu membunuh diri, melalui aplikasi Whatsapp kepada teman-temannya kira-kira jam 8 malam.

Menurut rakannya, Mohd Zaihid Yahaya, 24, dia dan rakan-rakan terkejut dengan pengakuan jujur terbabit, tetapi menganggap ianya sebagai satu gurauan pada awalnya.

"Dia kata nak bunuh diri terjun Sungai Kerian sebab putus cinta. Dia juga minta maaf dengan kami.

"Mulanya kami ingat dia berjenaka, tapi bila telefon banyak kali dia tak angkat, kami terus maklumkan kepada PSKK.

"Mujur juga dia bagi tahu kami... kalau tak mungkin dia dah terjun," katanya.


Pengerusi PSKK, Sohaimi A Hamid berkata, selepas menerima aduan pihaknya bergegas ke tempat kejadian.

Seramai 20 anggota PSKK telah ditugaskan ke Sungai Kerian di Ampang Jajar untuk menyelamatkan mangsa.

Pihak polis dan bomba juga ditugaskan untuk menghulurkan bantuan sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.

"Lelaki tu terkejut bila tengok kami sampai dan ugut mahu terjun Sungai Kerian kalau kami tak beredar.

"Kami tengok dia amat tertekan, jadi, kami terus maklumkan pada polis dan bomba untuk memujuknya membatalkan niat bunuh diri," katanya.

Lelaki yang berasal dari Bagan Tiang itu berjaya ditenangkan dan seperti telah  membatalkan niat membunuh diri setelah hampir dua jam dipujuk.

"Tapi, tiba-tiba mangsa cuba terjun... mujur sempat dipeluk ahli PSKK.

"Masa tu mangsa macam dirasuk, meronta-ronta menolak beberapa ahli PSKK yang memegangnya.

"Lepas laungkan azan barulah lelaki ni nampak tenang dan kita terus bawa dia ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut," katanya.

Difahamkan, mangsa telah dihantar ke Unit Psikiatri Hospital Taiping untuk rawatan.

Motif mangsa mahu membunuh diri dipercayai adalah disebabkan putus cinta. -TiraGomez/Kedahnews.com