Penasihat DAP, Lim Kit Siang |
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengingatkan semua pihak bahawa Al-Quran menyatakan fitnah merupakan jenayah yang lebih buruk berbanding membunuh.
Justeru, beliau mendakwa pihaknya berasa kesal dengan tindakan pemimpin PAS yang kononnya memfitnah DAP ditawarkan RM1.2 bilion oleh Israel.
“Semua pemimpin politik diberi pengajaran yang bahawa mereka tidak boleh melepaskan diri dengan dusta atau dakwaan yang tidak munasabah.
“Menurut Al-Quran, fitnah adalah satu jenayah yang lebih buruk daripada membunuh,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.
Justeru, kata Kit Siang, DAP akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemimpin PAS terbabit dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Saya menjangkakan peguam DAP untuk memulakan prosiding undang-undang dalam satu atau dua hari,” katanya.
PAS pada 30 Disember lalu menggesa DAP sebagai parti yang mendominasi Pakatan Harapan menafikan dakwaan tentang parti itu ditawarkan dana oleh Israel sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dipetik berkata, kegagalan DAP menjawab pendedahan yang pernah dibuat oleh bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu sekadar mengesahkan hubungan DAP dan Israel.
Mohd. Zuhdi berkata, DAP perlu juga menjawab pendedahan Mohamed Razali seramai 17 pemimpin DAP dilatih oleh pakar perisikan Israel untuk menjadi pakar strategi.
“Mohamed Razali mendakwa sebuah pengkalan tentera Israel baru akan diwujudkan di Port Dickson sebagai balasan jika DAP berjaya menguasai Putrajaya. Ketiga-tiga dakwaan ini jauh lebih serius dan mengancam umat Islam dan keselamatan negara sekiranya ia benar-benar dilakukan oleh DAP,” kata Mohd. Zuhdi.
Justeru, kata beliau, DAP tiada cara lain untuk membersihkan tuduhan-tuduhan itu melainkan mendakwa Mohamed Razali di mahkamah kerana sudah lebih empat tahun DAP didakwa mengelak menjawab tuduhan itu.
Pendedahan itu dibangkitkan semula oleh PAS berikutan tindakan seorang pemimpin DAP mengutuk kerajaan Malaysia menyekat dua atlet Israel menyertai pertandingan luncur angin di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Beberapa pemimpin PAS lain pula menyifatkan tindakan DAP itu mengambarkan wajah sebenar parti berkenaan ke atas agama Islam selama ini.
Sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun mengambil pendirian membisu dalam isu tersebut.
Ramai pihak melihat sikap ditonjolkan PKR itu kerana tidak mahu dilihat masyarakat dunia sebagai anti-Israel atas sebab-sebab tertentu. –Kedahnews.com