Mahdzir Arahkan SMK St George Henti Kenakan 30 Sen Masuk Tandas

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
TINDAKAN sebuah sekolah di Pulau Pinang mengenakan bayaran 30 sen untuk menggunakan tandas kini hangat diperkatakan menerusi media sosial.

Perkara itu sekali gus mendapat perhatian segera Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Dalam perhatian pengarah JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Pulau Pinang untuk tindakan susulan,” katanya di Facebook.

Mahdzir turut berkongsi sebuah status bergambar yang menyebut Sekolah Menengah Kebangsaan St. George di George Town bakal mengenakan bayaran 30 sen sekali masuk.

Difahamkan, keputusan pelaksanaan bayaran itu dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni sekolah berkenaan.

Sekolah Menengah Kebangsaan St. George di George Town
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPPP), Shaari Osman berkata, hanya beberapa buah tandas sahaja yang dikenakan bayaran di sekolah berkenaan manakala, selebihnya adalah percuma.

“Walau apa pun saya telah meminta amalan mengenakan bayaran itu diberhentikan serta merta.

“Sekolah juga telah akur dan mulai hari ini ianya tidak lagi dikenakan bayaran untuk semua tandas,” ujarnya di Facebook miliknya semalam. -Kedahnews.com