Mahdzir Nafi Keluar Kenyataan Kenaikan Gred, Pelarasan Gaji Dan Elaun Guru

ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan yang sedang tersebar di laman sosial berhubung kenaikan gred warga pendidik dan pelarasan gaji yang kononnya akan dibuat dua kali setahun.

Mahdzir berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sebagaimana yang sedang viral tersebar di kalangan guru di seluruh negara, khususnya menerusi aplikasi laman-laman sosial.

"Saya menafikan ada mengeluarkan kenyataan seperti di bawah yg sudah tersebar melalui aplikasi media sosial," tegas beliau di laman Facebook rasminya.

Difahamkan bahawa selain skala kenaikan gred dan pelarasan gaji, sebaran tidak bertanggungjawab itu turut mendakwa beberapa elaun akan dinaikkan kadarnya seperti elaun keraian dan perumahan.

Tidak dapat dipastikan siapa yang bertanggungjawab mencetus kenyataan palsu membabitkan nama Mahdzir tersebut, namun ia dikatakan begitu giat disebarkan di dalam aplikasi sosial termasuk "Whatsapp" secara individu mahupun group guru.

Mahdzir bukan merupakan yang pertama menjadi mangsa fitnah pihak tertentu sedemikian memandangkan beberapa orang menteri dan pemimpin khususnya pro-kerajaan sebelum ini turut menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan.

Malangnya, kenyataan-kenyataan palsu sebegitu begitu mudah dan cepat dipercayai masyarakat yang menjadi sasaran sebaran sehingga menyebabkan berlaku persepsi, harapan palsu dan tanggapan buruk berlaku. -Kedahnews.com