Malaysia Kecam Keras, Gesa Korea Utara Henti Ujian Bom Hidrogen

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman
KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya ujian bom hidrogen bawah tanah yang dilakukan oleh Republik Demokratik Rakyat Korea pada 6 Januari 2016, semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan bahawa ujian tersebut merupakan satu bentuk pencabulan yang jelas terhadap Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia merupakan suatu bentuk penentangan yang serius kepada rejim pelucutan dan pengawalan senjata antarabangsa.

“Malaysia amat kesal dengan insiden terbaharu ini yang merupakan ancaman merbahaya kepada keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Anifah berkata, tindakan itu turut menjejaskan usaha-usaha global ke arah mencapai matlamat sejagat mengenai pelucutan senjata secara lengkap dan menyeluruh.

Tambahnya, tindakan-tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya menyumbang kepada peningkatan ketegangan di peringkat serantau serta menjejaskan prospek keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea dan dunia secara amnya.

“Malaysia menggesa Republik Demokratik Rakyat Korea supaya menghentikan sebarang ujian lanjut dan mematuhi dengan sepenuhnya Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan dengan tujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya. –Kedahnews.com