Malaysia Masih Mampu Aman Harungi Tragedi Sepanjang 2015


TIDAK seperti 2014, Malaysia harus bersyukur dan menarik nafas lega kerana diduga dengan tragedi atau bencana yang  tidak dapat dielakkan.

Tiada banjir besar, tiada pesawat yang terbabit dengan nahas, malah tiada tragedi besar yang mengorbankan banyak nyawa, tidak keterlaluan dikatakan 2015 adalah tahun yang agak ‘tenang’ jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Menyingkap episod demi episod ujian yang ‘diturunkan’ kepada negara kita sama ada dari segi bencana yang tidak mampu ditahan oleh manusia, atau nahas akibat kecuaian atau kealpaan manusia, Malaysia memulakan tahun ini dengan agak baik tanpa sebarang peristiwa besar yang tak diingini.

Helikopter Terhempas

Setelah Januari, Februari dan Mac berlalu dalam keadaan baik, pada April negara mula diuji dengan tragedi yang menyaksikan enam individu termasuk bekas menteri, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Semenyih pada tanggal 4 April.


Ekoran nahas ini, kerusi Parlimen Rompin yang kosong diisi Datuk Hasan Arifin yang menewaskan calon PAS, Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas kejadian itu.

Nahas Myvi-Duke

Belum pun kesedihan akibat tragedi itu reda, negara digemparkan pula dengan kemalangan tragis dan menyayat hati di Lebuhraya Duke melibatkan kenderaan jenis Pajero dan kereta Myvi.


Dalam kemalangan pada pagi 2 Mei itu, pemandu Pajero bersama isteri dan seorang anak mereka berusia tujuh bulan telah terkorban. Dua lagi anak mereka yang berusia tujuh dan empat tahun menjadi yatim piatu.

Kemalangan ini mendapat perhatian dan simpati masyarakat apabila ia melibatkan keluarga dan anak kecil yang ‘tidak berdosa’. Malah ia juga menjadi viral di internet.

Ia turut menimbulkan kemarahan awam apabila terdapat dakwaan yang menyatakan kemalangan itu berpunca daripada dua kereta Myvi yang sedang berlumba.

Akibatnya pemandu Myvi terbabit bersama dengan kelab-kelab kereta Myvi di negara ini dikecam hebat. Tidak cukup dengan itu, pemandu-pemandu Myvi lain turut sama menerima tempiasnya.

Gempa Kinabalu

Memasuki pertengahan 2015, negara mula berdepan dengan rentetan peristiwa yang tidak pernah dijangka atau disangka-sangka. Beberapa insiden tak diingini berlaku serentak dengan ujian bencana alam.

Paling tidak dapat dilupakan apabila seluruh rakyat Malaysia gempar dengan kejadian gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter yang melanda daerah Ranau, Sabah pada 5 Jun.

Gempa bumi itu, buat pertama kali telah menyebabkan berlakunya runtuhan bongkah batu di Gunung Kinabalu yang selama ini menjadi kebanggaan penduduk Sabah dan salah satu ikon pelancongan Malaysia.

Dalam kejadian ini, seramai 18 pendaki yang berada di puncak Kinabalu terkorban. Ikon Kinabalu, Donkey’s Ear dan Tunku Abdul Rahman turut terjejas. Hanya pada 1 Disember, kerajaan Sabah memutuskan untuk membuka semula kegiatan pendakian ke puncak kebanggaan negara itu menggunakan laluan baharu.

Insiden Low Yat

Setelah keadaan di Sabah pulih, insiden tak diingini berlaku pula di Kuala Lumpur apabila berlaku pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat pada 11 Julai 2015.


Kejadian pada 7.38 malam itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan di kompleks itu kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit lalu menyerahkannya kepada pihak polis.

Suspek, yang juga remaja bagaimanapun bertindak menghubungi rakan-rakannya lalu memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000.

Jerebu Kembali Lagi

Selepas satu demi satu bencana, rakyat Malaysia diuji lagi dengan kehadiran jerebu yang saban tahun menyelubungi bumi Malaysia bermula September.

Isu yang tiada kesudahan ini dikatakan paling buruk apabila ia berlaku untuk tempoh panjang hingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan rakyat Malaysia.


Dalam isu ini, golongan yang paling terkesan sudah tentulah kanak-kanak dan pelajar kerana banyak sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup lebih 10 kali.

Jerebu yang berterusan sehingga hujung Oktober ini telah melibatkan kira-kira 1.7 juta pelajar dengan lebih dari 2,000 sekolah terlibat dalam penutupan sekolah.

Tragedi Kevin Morais


Ketika masyarakat di negara ini masih bertopeng akibat udara yang berjerebu, berlaku satu kes pembunuhan ngeri di mana mayat bekas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais ditemui di Subang Jaya dalam keadaan disimen dalam sebuah tong.

Mayat Morais ditemui pada 16 September, 12 hari selepas dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Menara Duta untuk keluar ke bertugas di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Kren Tumbang

September 2015 turut menyaksikan insiden kren tumbang di Makkah. Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha.


Seramai tujuh jemaah Malaysia terkorban dalam tragedi itu dan beberapa jemaah lain mengalami kecederaan. Mangsa yang cedera dan waris jemaah yang terkorban akan dibayar pampasan oleh kerajaan Arab Saudi.

Anak Orang Asli Hilang

Kes tujuh pelajar Orang Asli hilang di Gua Musang yang mula dilaporkan pada 23 Ogos 2015 juga akan menjadi sejarah untuk negara ini.


Peristiwa ini mencetuskan 1001 persoalan dan perasaan apabila mayat pertama hanya ditemui selepas 46 hari mereka hilang iaitu pada tanggal 7 Oktober 2015.

Berlaku keajaiban apabila dua daripada tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang di dalam hutan itu dijumpai selamat berhampiran Sungai Perias, dua hari berikutnya (9 Oktober 2015).

Banjir Lumpur

Dua bulan sebelum 2015 melabuhkan tirainya, berlaku satu lagi fenomena pada tanggal 11 November di mana berlaku kejadian banjir lumpur di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang.

Akibatnya, kedua-dua arah lebuh raya itu sesak teruk dan ditutup untuk laluan awam selama beberapa hari.

Dalam insiden itu, tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas tetapi kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.


Ramalan bahawa banjir besar Disember 2014 yang dijangka berulang pada Disember tahun ini sama sekali meleset - satu hakikat tentang malapetaka atau bencana alam yang harus diterima oleh semua.

Mangsa banjir dan agensi penguatkuasa terutama di Kelantan rata-rata sudah bersedia untuk berdepan bencana sama sekali lagi namun ia tidak berlaku. Sebaliknya, ia ‘diganti’ dengan nahas bas di Chiang Mai pada 20 Disember.

Dalam kejadian itu, seramai 13 rakyat Malaysia disahkan maut manakala sembilan lagi cedera termasuk empat cedera parah.

Walau apa pun yang menimpa negara kita, apa yang pasti setiap tragedi sama ada disebabkan bencana alam atau kecuaian manusia perlu dijadikan iktibar oleh kita semua.

Malah, ketika seluruh rakyat berdepan dengan ujian, cabaran dan saat getir, ia secara tidak langsung membolehkan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan mengenepikan perbezaan pendapat dan pegangan.

Sumber: mStar