Rooney kecewakan jutaan penyokong The Reds di Anfield |
Liverpool mendominasi perlawanan dan kelihatan mampu menamatkan permainan dengan kemenangan, namun rembatan Rooney pada minit ke-78 memastikan United pulang bersama tiga mata penuh selepas melakar kemenangan 1-0.
Jaringan itu membolehkan penyerang tersebut mengatasi rekod penjaring terbanyak bagi sebuah kelab yang dipegang Thierry Henry (175 gol untuk Arsenal) dengan meledak gol ke-176.
United juga berterima kasih kepada aksi cemerlang penjaga gol, David De Gea yang banyak menyelamatkan gawang daripada dibolosi beberapa percubaan cantik tuan rumah, sekali gus membolehkannya dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.
Rooney, 30, memanfaatkan bola yang terhidang di depannya ketika tandukan Marouane Fellaini sekadar menggegarkan palang, sekali gus menjaringkan gol pertama di Anfield sejak 2005.
Malah, ia juga merupakan percubaan pertama United sepanjang 90 minit perlawanan, namun sudah mencukupi buat skuad bimbingan Louis van Gaal untuk menang kali keempat ke atas Liverpool dalam empat perlawanan, selain meraih kemenangan pertama selaku pasukan pelawat sejak menang 2-1 ke atas Watford pada 21 November lepas.
Kemenangan tersebut turut membantu United merapatkan diri ke slot Liga Juara-Juara dengan hanya beza dua mata, termasuk merampas tempat kelima daripada West Ham.
“Semua orang tahu betapa pentingnya perlawanan ini, selain daripada posisi dalam liga ia juga perlawanan besar dan kami mencatat kemenangan yang hebat.
“Kami memerlukan tiga mata. Ia adalah kemenangan besar buat pasukan untuk meneruskan saingan musim ini,” kata Rooney kepada Sky Sports.
Ketika ditanya mengenai rekod yang dicipta semalam, kapten United itu membalas: “Saya tidak tahu. Ia sesuatu yang hebat berjaya mencatat rekod, tetapi menjaringkan gol kemenangan di Anfield, perkara yang sudah lama saya tidak lakukan..jadi saya agak pentingkan diri sendiri hari ini dan menikmatinya.”
Sementara itu, kekalahan Liverpool menyebabkan mereka jatuh ke tangga kesembilan dengan enam mata di belakang United, sekali gus menyempitkan peluang The Reds untuk menamatkan kempen dalam kelompok empat terbaik.
Ini juga adalah kekalahan ke-12 Liverpool di laman sendiri kepada United, menjadikan kekalahan terbanyak berbanding ketika menerima kunjungan daripada pasukan lain sepanjang era Liga Perdana. – AGENSI