Amyra Rosli |
KUALA LUMPUR - Pelakon Amyra Rosli, 25, terkejut apabila didakwa bermasam muka dengan pelakon Emma Maembong kerana cemburu dengan kemesraan pelakon itu dengan Amar Baharin ketika di lokasi penggambaran drama bersiri Tersuka Tanpa Sengaja, baru-baru ini.
Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli berkata, dakwaan itu langsung tidak logik kerana hubungan mereka akrab dan tidak mempunyai sebab untuk berselisih faham seperti dikhabarkan.
"Mana pula datang cerita mengarut ini? Ini adalah gosip paling kelakar pernah saya alami sepanjang bergelar artis. Perkara itu tidak pernah berlaku dan langsung tidak masuk akal.
"Saya dan Emma memang rapat dan baik. Apa sebab pula kami nak bergaduh? Apatah lagi disebabkan kes cemburu? Memang kelakar betullah," katanya.
Khabar angin mengatakan kononnya Amyra mencemburui kemesraan Emma dengan Amar di lokasi penggambaran drama arahan Keoi Khalid itu sehingga mereka bermasam muka.
Bagaimanapun, Amyra menegaskan tuduhan itu tidak sepatutnya timbul langsung kerana ia boleh mengelirukan banyak pihak sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang masalah.
Sumber: myMetro