Manfaatkan Keindahan Islam Melalui Dakwah Di Media Baru


KEBELAKANGAN ini program realiti Islamik yang disiarkan di kaca televisyen semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton di negara ini. Pelbagai tarikan gaya dan kreativiti termasuk jemputan pengacara selebriti dan ahli panel terkenal digunakan penganjur untuk menarik minat penonton.

Namun, dalam keasyikan menonjolkan program berunsur keislaman, terdapat beberapa perkara kecil yang terlepas pandang hingga mencacatkannya dengan penyiaran iklan-iklan produk yang tidak menepati ciri-ciri Islam.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, keadaan tersebut akan memberi kesan kepada kredibiliti kandungan berunsur Islam lantaran iklan-iklan yang dipamerkan kepada umum tidak memenuhi syariat Islam walaupun ketika itu penonton sedang disajikan dengan rancangan berbentuk kerohanian.

“Media merupakan antara jalan terbaik untuk berdakwah mengenai Islam kepada masyarakat kerana ia mempunyai pelbagai wasilah seperti radio, televisyen, akhbar dan Internet.

“Oleh itu kandungan yang disampaikan kepada umum perlulah perkara yang baik, berfaedah, menyampaikan berita benar, mempunyai seni indah untuk menyentuh hati masyarakat dan wujud roh serta prinsip berlandaskan nilai Islam, bukannya sekadar mengejar populariti semata-mata,” katanya semasa menyampaikan ucaptama sempena Seminar Media dan Dakwah Islam Antarabangsa di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Rugayah, seiring dengan tujuan tersebut, pendakwah perlu memikirkan kaedah terbaik yang ingin digunakan bagi menyampaikan maklumat kepada umum sama ada melalui media elektronik mahupun bercetak.

Katanya, kewujudan pelbagai media bukan sahaja memberi kelebihan kepada pendakwah untuk menyampaikan ilmu dengan mudah kepada umum, malah mereka perlu bijak menarik emosi dan minat masyarakat terhadap keindahan Islam.

“Contohnya, dakwah melalui surat khabar. Hari ini kita lihat pembaca surat khabar semakin berkurang, tetapi kita jangan fikir bahawa medium bercetak ini sudah tidak laku kerana walaupun masa berubah tetapi akhbar masih ada peminatnya tersendiri.

“Radio juga merupakan alat terbaik untuk berdakwah kerana ia mempunyai pendengar yang tersendiri. Kebelakangan ini kita melihat trend anak muda memilih siaran radio berunsur Islam. Sudah tiba masanya pendakwah dan penggiat media Islam menghasilkan program serta rancangan berunsur Islam yang lebih kreatif,” katanya.

SEBELAH PIHAK

Rugayah berkata, menjadi satu kebiasaan dalam negara apabila timbulnya isu sensitif berkaitan agama Islam, hanya satu pihak sahaja dipersalahkan hingga dilupakan peranan sebenar pendakwah untuk menjelaskan Islam kepada masyarakat.

“Jika sesuatu isu berlaku melibatkan salah faham kepada umum, pendakwah perlu meletakkan kesalahan itu di bahu mereka sebelum menyalahkan pihak yang cuba menghina Islam. Kumpulan ini sebenarnya tidak mendapat ilmu yang mencukupi sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Contohnya kes baru-baru ini melibatkan kumpulan G25 yang meminta hukuman khalwat dimansuhkan. Permintaan itu telah menimbulkan ketegangan kepada umat Islam kerana menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Walaupun kenyataan kumpulan tersebut dilihat agak melampau, tetapi sebagai pendakwah kita tidak boleh salahkan mereka sepenuhnya berikutan golongan ini boleh dianggap tidak mempunyai ilmu dalam bidang tersebut. Malahan kesalahan itu perlu dikembalikan ke atas bahu pendakwah.

“Ini kerana selagi kita mencari kesalahan orang lain selagi itulah ilmu tidak akan disampaikan secara meluas. Kita perlu fikirkan apa yang kita telah buat untuk sampaikan ilmu dan betulkan pandangan mereka,”jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Syeikh al-Azhar al-Sharif, Republik Arab, Profesor Dr. Abbas Shouman turut menggesa masyarakat Islam supaya memahami Islam yang sebenar berikutan agama ini adalah rahmat.

“Islam sekarang telah disalahertikan oleh penduduk dunia sehingga menyebabkan sebahagian mereka sudah tidak nampak keindahan Islam.

“Kita melihat pelbagai pihak cuba mengeksploitasi kelemahan umat Islam sehingga menyebabkan berlaku pertumpahan darah dan pembunuhan yang dikaitkan dengan orang Islam.

“Justeru, media merupakan platform terbaik untuk menyampaikan dakwah dan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku kepada penduduk dunia,” katanya.

Sumber: Utusan