Mat Sabu Tuduh UMNO Punca Utama Masalah Ekonomi

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Kehebatan dan pengaruh UMNO jelas terbukti apabila Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendakwa parti berkenaan mampu mempengaruhi prestasi ekonomi negara sehingga menjadi punca kepada berlakunya kemelut ekonomi Malaysia.

Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu itu mendakwa bahawa kesan akibat penurunan harga minyak global hanyalah menjadi faktor kedua yang menyumbang kepada kemelut berkenaan.

“Faktor kedua adalah akibat daripada turunnya harga minyak di pasaran antarabangsa yang turut memberi kesan besar kepada pendapatan negara.

“Bagaimanapun, tumpuan utama kita adalah ketirisan, pemborosan yang dilakukan oleh pemerintah,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau mendakwa Biro Kebajikan Amanah kononnya akan membongkar segala penyelewengan oleh kerajaan yang menyebabkan kepada kemelut ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, Mat Sabu tidak menjelaskan sama ada pendedahan tersebut berdasarkan bukti kukuh yang tidak direka-reka seperti sebelum ini, atau ia dibuat berdasarkan 'hear say' sahaja.

Justeru dengan "pendedahan" yang bakal dilakukan partinya itu, beliau mengajak seluruh badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dengannya agar bagi menjatuhkan UMNO dan kerajaan.

“Kemiskinan melampau, catuan makan yang dibuat oleh sebahagian mahasiswa dan penduduk pedalaman hendaklah terus dibantu sekadar yang termampu, kerana kita badan politik yang tidak memerintah,” dakwanya. –Kedahnews.com