Maut Tergelincir Jatuh Ketika Berkelah Di Gunung Jerai


YAN - Seorang lelaki berusia 51 tahun maut dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam cerun sewaktu berkelah di pusat peranginan Taman Rimba Gunung Jerai dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata mangsa dikenali sebagai Ishak Ibrahim, 51, dari Kepala Batas, Pulau Pinang.    

"Difahamkan mangsa bersama isteri dan anaknya datang untuk berkelah kira-kira pukul 2.30 petang. Pada pukul 4.30 petang, anaknya mencarinya untuk mengajaknya makan dan kemudian menemui bapanya di dalam cerun setinggi 15 meter.

"Selepas dihubungi, pasukan bomba Guar Chempedak datang dan membawa mangsa keluar," katanya kepada Bernama.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Yan untuk dibedah siasat. - Bernama