Gambar Hiasan |
STATISTIK kemalangan maut yang disiarkan Utusan Malaysia, Rabu lalu memang membimbangkan. Apa tidaknya, daripada 6,193 kemalangan maut tahun 2015, sebanyak 1,713 kes atau 28 peratus adalah akibat terbabas sendiri diikuti 764 kes ‘makan jalan’ (14 peratus) dan 689 kes gagal memotong (11 peratus).
Statistik ini didedahkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus.
Kata beliau, turut direkodkan adalah pemanduan tidak cekap, salah pertimbangan, pandu melebihi had laju, suka mencelah atau himpit kenderaan lain, memecut sesuka hati, tidak beri isyarat membelok, kurang tumpuan, tidak sedia memandu, tidak memeriksa kenderaan, kurang sabar dan tidak peduli keadaan jalan raya atau cuaca jadi faktor kemalangan maut.
Ringkas cerita, sikap pemandu adalah punca utama kemalangan maut dan juga kemalangan jalan raya. Malaysia juga adalah antara 25 negara yang paling berbahaya bagi pengguna jalan raya, dengan mencatatkan 30 kematian bagi setiap 100,000 individu, menurut kajian oleh Universiti Michigan.
Dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Pengangkutan universiti itu menggunakan data 193 negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), senarai kajian pada Februari 2014 menunjukkan Malaysia sebagai negara ke-17 yang paling berbahaya untuk pemandu.
Dalam perbandingan yang dilakukan, Amerika Syarikat mencatatkan 14 kematian, Perancis (tujuh), Jerman dan Singapura (enam) manakala United Kingdom hanya lima kematian bagi setiap 100,000 orang.
Gambar Hiasan |
Entah di mana silapnya? Sikap dan tingkah laku rakyat Malaysia yang majoritinya terkenal dengan lemah-lembut dan berbudi bahasa bertukar ‘ganas’ apabila memegang stereng di jalan raya.
Pening pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencari jalan mengatasi masalah ini. Bermula dengan Op Pacak, Op Sikap sehinggalah ke Op Selamat tetapi kadar kemalangan dan kematian nampaknya masih tinggi.
Pelbagai undang-undang jalan raya nampaknya belum cukup menggerunkan para pemandu ‘ganas’. Sehinggakan keluar ungkapan undang-undang atau peraturan dibuat untuk dicabuli atau tidak dipatuhi (rules are made to be broken). Untuk itu, marilah kita memulakan tindakan bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.
Sebabnya, menjaga nyawa adalah satu daripada kewajipan dalam maqasid syariah. Malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan atau tindakan yang boleh membinasakan. Ia ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (al-Baqarah: 195)
Amalkan sikap tenang dan sabar semasa memandu walaupun kadang-kala bengang dengan sikap orang yang memandu persis ‘jalan itu mereka yang punya’. Jangan rasa tercabar apabila kereta Kancil atau Viva memotong kita yang memandu kenderaan mewah.
Jangan peduli mereka yang memandu secara melulu dan yang suka melanggar peraturan lalu lintas. Sebaliknya sebelum kita melakukan perkara yang sama, bayangkan wajah anak dan isteri di rumah yang sedang menunggu kepulangan kita. Jangan biar mereka sambut kita dengan tangisan.
Tragedi menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang kehilangan kedua-dua kaki dalam kemalangan di Parit 16 Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, Isnin lalu, memang menyedihkan.
Bukan mahu menyalahkan takdir tetapi jika semua pemandu mengikut peraturan dan prihatin kepada pengguna jalan raya lain terutama kenderaan yang lebih kecil, mungkin insiden itu boleh dielakkan.
Selebihnya, hendaklah kita berikhtiar dan berdoa agar terhindar daripada bala dan bencana. Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Luh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Sumber: Utusan