Menteri Besar Kedah Yang Baru Sudah Dikenal Pasti


ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain mendakwa seorang pemimpin yang layak telah dikenal pasti untuk dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang ke-12 dan bakal dilantik dalam tempoh terdekat.

Menurut Adun Tanjung Dawai itu, calon Menteri Besar itu disifatkan sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan dihormati orang Kedah.

“Menteri Besar baharu telah dikenal pasti.

“Beliau merupakan ahli politik berpengalaman dan pemimpin yang dihormati,” katanya dalam satu kenyataan di Semeling dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai individu yang beliau maksudkan itu, Tajul Urus menjelaskan bahawa Menteri Besar itu tidak akan menghadapi sebarang kesukaran kerana akan dibantu oleh barisan Exco yang berpengalaman dan kenal dengan bidang masing-masing.

"Sama ada calon berpendidikan tinggi atau tidak, ia bukan jadi masalah memandangkan dia (bakal MB) akan dibantu anggota exco negeri yang mahir dalam bidang masing-masing," katanya yang masih berteka-teki dengan nama Menteri Besar yang dimaksudkan itu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain
Mengulas mengenai Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Exco Kerajaan Negeri itu yakin bahawa anak mantan Perdana Menteri itu berkemungkinan besar akan ditawarkan jawatan setelah tidak lagi berjawatan Menteri Besar Kedah.

Memetik kenyataan Tajul Urus dari mStar, beliau yakin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak akan membiarkan Mukhriz tersisih dari kepimpinan kerajaan begitu sahaja.

Bahkan padanya, keputusan menukar Menteri Besar berkenaan tidak wajar dianggap sebagai satu 'hukuman' terhadap beliau, sebaliknya merupakan satu peluang yang lebih baik untuk Mukhriz meneruskan survival karier politiknya.

Meramalkan tempoh 3 hari bermula semalam, Tajul Urus yang sebelum ini dikatakan turut tersenarai bagi mengambil alih jawatan Mukhriz menegaskan bahawa beliau tidak mahu jawatan tersebut. -Kedahnews.com