Merekalah Wanita-Wanita Aymara, Gagah Mencari Rezeki Di Pergunungan Bolivia


Dengan memakai skirt dan baju berwarna warni, pasti ramai tidak menyangka sekumpulan wanita dari satu suku kaum di Bolivia ini mahir mendaki gunung.

Bagaimanapun, topi keledar, cermin mata dan kasut khas mendaki yang dipakai kumpulan wanita dari kaum Aymara ini mendedahkan identiti sebenar mereka.

Wanita ini antara pendaki hebat yang membantu pelancong asing yang berhasrat menawan puncak gunung di negara itu.

Pendaki wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun ini biasanya menemani suami mereka yang menjadi pemandu arah ke puncak gunung mencabar di Bolivia.

Antara tugasan mereka selain menjadi penunjuk arah kepada pendaki adalah memasak dan membawa kelengkapan pendakian.

Pada bulan lalu, mereka mendaki selama dua hari merentasi salji dan kabus tebal ke puncak Huayna Potosi setinggi 6,088 meter yang terletak di La Paz.


Kumpulan wanita pribumi ini pada mulanya bekerja di agensi pelancongan dengan membawa bekalan makanan dan peralatan lain ke kem pendaki terletak pada ketinggian 5,130 meter.

“Pada mulanya, saya bekerja sebagai tukang mengangkat barang sebelum menjadi tukang masak,” kata Alana Llusco.

Katanya, ramai pelancong bertanya mengenai keadaan di puncak Huayna Potosi tetapi dia tidak dapat menjawabnya kerana tidak pernah sampai di puncak itu.


“Saya terpaksa mendaki sehingga ke puncak gunung itu supaya saya boleh bercerita keadaan di atas sana kepada pelancong,” ujarnya.

Katanya, dia menghadapi masalah mencari peralatan mendaki yang sesuai ketika kali pertama mendaki gunung kira-kira 15 tahun lalu.

“Kaki saya kecil dan tiada but yang sesuai. Bagaimanapun, itu bukan penghalang dan saya berjaya tiba di tiga puncak gunung,” jelasnya.


Walaupun berpakaian tradisi, kumpulan wanita ini tidak menjadikan perbezaan jantina sebagai penghalang untuk mereka mendaki gunung.

Andrian Quispe, seorang lagi penunjuk arah wanita berkata, wanita juga mempunyai hak untuk mendaki gunung.

“Mendaki gunung bukan hanya untuk lelaki, wanita daripada semua peringkat umur juga boleh ­mendaki,” tegasnya.

Kerjaya sebagai penunjuk arah turut memberi pendapatan lumayan kepada wanita ini.


Ketika pendapat minimum bagi pembantu rumah sekitar £120 (RM768.95) sebulan di Bolivia, penunjuk arah mampu meraih £23 (RM147.36 ) sehari.

Wanita dengan tugasan memasak pula boleh meraih £13 (RM 83.29) sehari.

Ketika mendaki, wanita luar biasa ini memakai baju termal di bawah lapisan baju tradisional mereka untuk memanaskan badan.

Ketika bahagian terakhir pendakian ke puncak gunung, mereka menanggalkan skirt yang dipakai bagi mengelak kemalangan.


Lazimnya, mereka memulakan peringkat akhir pendakian selepas tengah malam ketika salji yang keras dan tiba di puncak gunung menjelang pagi.

Beberapa pendaki muda dalam kumpulan ini mula memasang cita-cita untuk menawan puncak gunung Aconcagua setinggi 6,960 meter.

Gunung Aconcagua adalah puncak tertinggi di Andes dan juga tertinggi di luar Asia.

Sumber: myMetro