Militan Daesh Jelas Tidak Didorong Ideologi Agama Islam - Nur Jazlan

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
KUALA LUMPUR – Pengganas Daesh adalah penjenayah dan gerakan mereka tidak didorong oleh ideologi Islam, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Mereka hanyalah kumpulan penjenayah… mereka yang berjaya diradikalisasikan merupakan manusia kebanyakan, yang tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh,” kata Nur Jazlan di luar Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia Ke-18 di sini semalam.

Beliau memberitahu pemberita bahawa bakal militan tertarik dengan mesej Daesh bahawa mereka mempunyai “jalan pintas untuk ke syurga”.

Nur Jazlan berkata Kementerian Dalam Negeri sedang memantau sayap serantau Daesh selepas video bertajuk ‘Public Message for Malaysia’ (Mesej Umum Untuk Malaysia) diedarkan, yang menunjukkan anggota kumpulan militan Katibah Nusantara berucap di bawah naungan Daesh dalam bahasa Malaysia.

“Video ini hanyalah suatu ancaman untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Jangan lupa, mereka yang telah diradikalkan ini mungkin tidak akan melakukan suatu apa pun. Sasaran kami ialah untuk menangkap mereka yang telah diradikalkan dan berniat untuk melakukan keburukan,” katanya.

Beliau berkata militan ini sukar dijejaki kerana mereka terbahagi dalam kumpulan kecil, tidak seperti Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda.

Bagaimanapun, polis tetap berjaya mengenal pasti dan menangkap militan Daesh ini, kata Nur Jazlan.

Beliau percaya Daesh tidak berniat untuk memberi mudarat kepada rakyat Malaysia dan mereka hanya memberi fokus kepada orang asing dan pasukan keselamatan.

“Mereka tidak berniat untuk memberi mudarat kepada penduduk tempatan. Ini akan merosakkan perjuangan mereka sendiri. Mereka ingin memberi fokus di kawasan yang mempunyai ramai orang asing serta di mana kegiatan tidak Islamik berleluasa, dan pada waktu sama, menyerang pasukan keselamatan,” kata Nur Jazlan. – BERNAMA