Mohd Najib Selesai Mengadap Yang DiPertuan Agong Pagi Ini


ALOR SETAR - Beberapa portal online di ibu negara melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pagi ini.

Presiden Barisan Nasional (BN) itu dilaporkan telah meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 9.07 minit sebentar tadi setelah meluangkan masa selama 1 jam 10 minit.

Desas-desus  bertiup kencang mengatakan Najib membawa beberapa nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang difikirkan sesuai dan layak untuk menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bagi jawatan Menteri Besar di negeri ini.

Turut difahamkan adalah menjadi rutin bagi Perdana Menteri untuk mengadap Yang DiPertuan Agong sebelum mengadakan mesyuarat kabinet pada setiap Rabu, namun ia dikatakan agak "luar biasa" untuk memakan masa selama lebih 1 jam.

Semalam media melaporkan bahawa seramai 19 Adun Kedah telah menurunkan tanda tangan akuan bersumpah dengan pendirian hilang kepercayaan terhadap Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah dan meminta perubahan pucuk pimpinan berlaku di peringkat negeri.

Adun Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif dikatakan yang terakhir menurunkan tanda tangan di atas akuan bersumpah tersebut, semalam.

Antara nama yang disebut-sebut untuk menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar adalah Datuk Ahmad Lebai Sudin (Adun Bukit Lada), Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (Adun Ayer Hangat), Datuk Ku Rahman Ku Ismail (Adun Guar Chempedak) dan Adun Bakar Bata merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sekiranya berlaku perubahan tampuk pentadbiran tertinggi di Kedah seperti yang diminta majoriti Adun BN tersebut, calon yang bakal terpilih nanti akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 dalam masa terdekat. -Kedahnews.com