Mukhriz Ada "Aura", Tapi Gagal Politik Di Kedah - Senator Shahanim


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir disifatkan mempunyai "aura" di kalangan generasi muda yang baru mengenalinya sebagai pemimpin, namun beliau dikatakan tidak mempunyai kemahiran berpolitik dan bermasalah dari sudut kepimpinan.

Senator Shahanim Moh Yusof berkata, beliau tidak menafikan populariti Mukhriz di kalangan orang muda, namun kegagalan sebenar Menteri Besar itu adalah dari sudut politik dan kepimpinannya telah menyebabkan beliau ditolak hampir semua pemimpin UMNO negeri, ahli serta penyokong parti.

"Mukhriz ada aura di kalangan orang muda, betul tu, sebab mereka hanya lihat luaran sahaja.

"Tapi bagaimana dengan kepimpinan, gerak kerja, terutama kemahiran Mukhriz berpolitik dan mengambil peduli tentang nasib rakyat Kedah?," katanya ketika dihubungi Kedahnews.com.

Kata Shahanim, beliau masih terbayang wajah-wajah ibu tunggal yang kehilangan kerja dan punca pendapatan apabila restoran yang menjadi sumber rezeki mereka ditutup walaupun telah Menteri Besar itu dirayu.

"Saya masih terbayang wajah-wajah ibu tunggal tu, sedih sangat tengok depa.

"Saya sendiri turun berjumpa dengan Mukhriz minta dia tolong jangan tutup restoran di Semeling tu sebab restoran tu menggajikan ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim, tapi Mukhriz tak tolong pun," ujarnya kesal dengan apa yang berlaku.

Walau bagaimanapun, senator yang mewakili negeri Kedah di Dewan Negara itu meminta supaya Mukhriz bersabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT kerana Dialah yang menentukan kekuasaan kepada hambaNya.

"Redha sajalah dan sedarlah itu semua kehendak Allah, Dia yang tentukan sama ada nak beri kuasa atau tarik balik kuasa dari Mukhriz," ujar beliau yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani. -Kedahnews.com