Mukhriz Sahkan Diri Tidak Mengadap Jemaah Pemangku Sultan Esok

MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengesahkan beliau tidak akan menyertai perjumpaan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, esok.

Mukhriz berkata, beliau hanya akan ke pejabatnya di Wisma Darul Aman untuk menjalankan tugas seperti biasa dan tidak akan terbabit sama sekali dengan pertemuan itu.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui sebarang inti pati pertemuan, namun mengesahkan kemungkinan ada beberapa soalan berkaitan pendirian ADUN seperti dilaporkan media pada sidang akhbar Rabu lalu, membabitkan kedudukannya yang akan ditanya oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah esok.

"Pertemuan esok tidak membabitkan saya, hanya ADUN dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah sahaja.

"Mungkin ada beberapa soalan berkaitan pendirian ADUN terhadap saya seperti yang dilaporkan media akan ditanya nanti," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau tidak dimaklumkan sama ada kedudukan beliau sebagai Menteri Besar akan umumkan selepas mesyuarat itu.

"Saya tidak boleh cakap bagi pihak istana..saya cuma dimaklumkan mengenai tindakan itu, seperti yang dilaporkan pihak media," katanya.

Difahamkan seramai 20 ADUN Barisan Nasional (BN) sudah dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, pada jam 2 petang esok.

Ia berikutan kemelut pertukaran Menteri Besar selepas kumpulan 14 Ketua Bahagian UMNO negeri Kedah mengumumkan hilang kepercayan terhadap kepemimpinan Menteri Besar pada sidang media, Rabu minggu lalu.

Sumber: Berita Harian