Mula Jun Ini, Siapa Nak Masuk Singapura Akan Diambil Cap Jari


SINGAPURA – Di sebalik kecanggihan pasport kebanyakan negara di dunia yang menggunakan sistem biometrik, namun mulai Jun ini, semua pelawat asing yang tiba di pintu masuk Singapura akan diambil cap jari mereka.

Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Desmond Lee berkata demikian sebagai menjawab soalan di Parlimen pada Rabu mengenai tahap kawalan keselamatan di sempadan dan ancaman pengganas terutama militan Daesh.

Menjawab soalan anggota parlimen Christopher De Souza dan Joan Pereira di Parlimen, beliau berkata dari segi kawalan di sempadan, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) melakukan pemeriksaan.

Ia meliputi semua pintu masuk negara itu termasuk jeti perkhidmatan feri, manakala polis pengawal pantai juga diarah meningkatkan aktiviti rondaan pemantauan di kawasan perairan Singapura dekat sempadan antarabangsa.

Pemerintah republik itu, kata Lee, turut melabur dalam teknologi terbaharu dan ini meliputi inisiatif imbasan bio untuk merakam data cap jari pendatang asing yang akan dilaksanakan di semua pusat pemeriksaan ICA tahun ini.

Polis pula dikerah meningkatkan pengawasan manakala pemasangan banyak kamera litar tertutup di blok-blok rumah pangsa milik agensi pemerintah HDB dan tempat letak kereta dijadual siap menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Lee berkata tindakan pemerintah Singapura semata-mata tidak mencukupi – setiap orang harus berwaspada. Sekiranya serangan pengganas tiba-tiba berlaku, rakyat tambah beliau, harus kekal bersatu padu.

Berhubung soalan anggota parlimen pembangkang, Sylvia Lim berhubung tindakan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) terhadap rakyat menjadi radikal secara sendiri, Lee berkata penjelasan isu itu akan diberi.

Menjawab anggota parlimen, Tin Pei Ling, sama ada tenaga kerja di MHA cukup mengendalikan golongan radikal, Lee berkata ia memadai, tetapi mereka akan memanfaatkan teknologi untuk mewujudkan keupayaan baharu. – Agensi