Gambar Hiasan |
KUALA NERANG - Biasanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) didominasi pelajar daripada masyarakat Tiong Hwa, namun ia jelas berbeza di SJKC Kou Hua di sini.
Daripada 22 pelajar yang mendaftar di Tahun Satu hari ini, 10 adalah pelajar Melayu, 11 pelajar berketurunan Siam dan hanya seorang pelajar Cina.
Malah daripada 75 pelajar keseluruhan di sekolah itu, 19 pelajar lelaki dan 18 perempuan berketurunan Siam, sembilan lelaki dan 16 perempuan pelajar Melayu serta lima lelaki dan lapan perempuan berbangsa Cina.
Nurul Fahiza Faisol, 30, dari Kampung Bendang Raja dekat sini berkata anak perempuan sulungnya Nurbatrisya Mohd Khairul Anwar, 7, meminta untuk bersekolah di situ.
Ibu kepada dua anak itu tidak menghalang hasrat anaknya, malah akan memantau prestasinya selain menghantarnya ke kelas tuisyen bahasa Mandarin.
"SJKC memang terkenal daripada segi disiplin pelajarnya dan ketegasan guru dalam mengajar. Mungkin ini antara tarikan untuk anak saya belajar di SJKC," katanya.
Selain daripada bahasa Mandarin, Nurul Fahiza berharap anaknya akan dapat menguasai bahasa lain seperti bahasa Thailand memandangkan terdapat ramai pelajar berketurunan Siam di sekolah itu.
Noriza Muhammad, 46, pula berkata hanya anak bongsunya Wan Nor Fashafikah Megat Mahazer yang mahu belajar di SJKC itu, tidak seperti enam anaknya yang lain.
Suri rumah yang tinggal di Tunjang, Jitra itu berkata ia merupakan cabaran besar baginya untuk memastikan anaknya dapat menguasai bahasa Mandarin yang menjadi bahasa penghantar sekolah berkenaan.
"Saya tahu agak sukar bagi anak saya untuk belajar tetapi saya yakin dia mampu menguasainya. Ini untuk masa depannya yang akan memberi kelebihan jika menguasai lebih daripada dua bahasa," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SJKC Kou Hua, Ooi Poh Heng berkata pelajar baharu yang mendaftar di sekolah berkenaan majoritinya tidak tahu berbahasa Mandarin dan mereka akan diajar sehingga mampu menguasainya.
"Untuk Tahun Satu ini kita akan adakan kelas tambahan sekali seminggu bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Mandarin apabila memasuki Tahun Dua pada tahun hadapan," katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata sekiranya pelajar berkenaan masih gagal menguasainya dalam tempoh setahun, pihaknya akan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk menyelesaikan masalan itu. - Bernama