Mustapa Yakin Mampu Urus Persepsi Negatif Terhadap TPPA


KOTA BHARU - Kerajaan yakin dapat menangani pelbagai persepsi negatif yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan sentiasa sedar mengenai cabaran yang dihadapi jika sesuatu perkara yang akan dilaksanakan itu melibatkan kepentingan negara.

"Banyak perkara yang kita buat untuk (kepentingan) jangka panjang (negara)contohnya pembinaan Putrajaya, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Jambatan Pulau Pinang. Ini menimbulkan banyak bantahan pada peringkat awal tapi akhirnya rakyat faham," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat mengenai TPPA kepada lebih 800 orang warga pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Bandar Baharu Tunjong di sini.

Hadir sama Pengarah JPN Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah dan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) wilayah Kelantan Azran Deraman.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata perbahasan mengenai TPPA telah lama dilaksanakan oleh kerajaan dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat pembangkang.

"Dah lima tahun saya menjawab soalan mengenai TPPA ini. Kerajaan juga telah mengadakan perjumpaan dengan orang awam, mengadakan pendengaran awam, forum terbuka dan sebagainya," katanya.

Malaysia adalah antara 12 negara selain Australia, Brunei, Kanada, Chile,  Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam yang memuktamadkan rundingan berkaitan TPPA pada 5 Oktober 2015. -Bernama