Myvi Terbabas, Terhumban Ke Jurang Sebelum Terbakar


BELURAN – Pasangan suami isteri terselamat ketika kereta dinaiki terbakar selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 44 Jalan Beluran-Telupid, awal hari ini.

Ini berikutan tindakan orang awam yang membantu mengeluarkan pasangan berusia lingkungan 30an itu dari kereta.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata nahas yang berlaku kira-kira 7.00 pagi itu membabitkan sebuah Proton Saga dan sebuah Perodua Myvi.

Katanya punca kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang datang dari arah Telupid hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton Saga.

“Perodua Myvi tersebut terbabas ke kanan jalan dan terhumban ke jurang sebelum terbakar di bahagian hadapan.

“Pemandu dan isteri sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai,” katanya di sini.

Menurutnya, pasangan itu dan pemandu sebuah lagi kereta cedera ringan. – BERNAMA