Nasib Anak AR Tompel Dibela Kerajaan Negeri Sembilan

Pelakon veteran Amran Aman Ramli atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel yang menderitai penyakit angin ahmar di rumahnya di Taman Matahari Height, Senawang diziarahi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Datuk Norhayati Omar (dua,kanan) dan anggota Dewan Undangan Negeri Paroi Mohd Ghazali Wahid (kanan) semalam. - Foto BERNAMA
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan semalam tampil menghulurkan bantuan kepada pelakon veteran, Amran Aman Ramli yang terlantar di kediamannya di Taman Matahari Heights, Senawang dekat sini sejak dua bulan lepas akibat serangan angin ahmar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Norhayati Omar berkata beliau akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menyalurkan bantuan bulanan kepada anak bekas bintang komedi Allahyarham A.R. Tompel itu yang juga dikenali sebagai Amran Tompel.

“Semakan JKM mendapati Amran mendapat bantuan bulanan kanak-kanak RM200 sebulan sejak 2014. Memandangkan tahap kesihatan Amran, saya akan mencadangkan menukar bantuan kanak-kanak itu kepada bantuan warga emas di mana beliau akan menerima RM300 sebulan.

“Bantuan ini akan lebih selesa kepada Amran dan keluarga untuk meneruskan kehidupan. Selepas ini kami akan hentikan bantuan kanak-kanak itu dan tukarkan kepada bantuan warga emas,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Amran semalam.

Turut hadir Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid.

Norhayati berkata JKM akan menyumbangkan alat kerangka pejalan atau ‘walking frame’ kepada Amran untuk menjalani fisioterapi di rumahnya selain di hospital.

Katanya bantuan seumpama itu diberi memandangkan Amran kini tiada sumber pendapatan ekoran kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Selain JKM, Baitumal turut membantu pelakon veteran itu dengan menyampaikan bantuan barangan keperluan harian bernilai RM100 kepada Amran yang disampaikan pegawai Baitulmal Daerah Seremban, Mohd. Asyraff Abdul Aziz.

“Ini adalah bantuan awal dan kami akan lihat untuk memberi bantuan bulanan berdasarkan keperluannya. Kalau perlu bantuan bulanan, kami akan proses,” katanya.

Sementara itu, Amran mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, JKM, Baitulmal dan beberapa pihak lain yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya.

“Semoga Allah membalas budi baik mereka,” katanya.

November lepas Amran, 65, tiba-tiba pitam dan pemeriksaan yang dijalankan di sebuah klinik mendapati tekanan darahnya terlalu tinggi.

Ketika menjalani rawatan selama enam hari di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, doktor mengesahkan beliau mengalami angin ahmar.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu Amran boleh menghubungi talian 012-9262553. – BERNAMA