KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) kecewa dengan tindakan segelintir pihak menyebarkan dakyah di media sosial kononnya perbankan Islam zalim, tidak adil dan tidak Islamik untuk memburuk-burukkan kepemimpinan negara.
Presidennya, Ibrahim Hasan Al-Hafiz berkata, pihak terbabit turut menuduh penasihat syariah yang dilantik pihak bank kononnya semata-mata untuk menghalalkan produk perbankan Islam yang tidak halal.
“Saya tidak pelik atas tuduhan mereka kerana dahulu saya juga seperti mereka. Rasa hebat mengkritik sesuatu yang kononnya kita tahu dan pakar dalam isu tersebut.
“Lebih-lebih lagi terpengaruh dengan ‘mazhab’ dinaris Sheikh Imran Hossein melalui YouTube dan buku karangannya yang menyeru kita kembali kepada pengamalan emas sebagai medium transaksi,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Ibrahim berkata, kritikan ke atas perbankan Islam semakin `berapi’ apabila ada pula ahli akademik dan profesor yang mendakwa diri mereka pakar menuduh perbankan Islam hanya kosmetik kepada perbankan konvensional.
Bagaimanapun, katanya, pengkritik perbankan Islam yang kononnya pakar agama dan kewangan terbabit tidak mampu untuk menjawab persoalan “Selain perbankan konvensional, apa alternatif yang umat Islam ada?”
“Baru saya sedar bahawa selama ni ‘academic exercise’ hanya syok sendiri dan leka berteori. Kritikan-kritikan pedas hanya gah buat diri sendiri tetapi tiada solusi,” katanya.
Kata beliau, kritikan yang dilemparkan di media sosial itu jika berjaya mempengaruhi rakyat hanya meninggalkan masyarakat dengan dua pilihan iaitu kembali ke perbankan konvensional atau menyimpan wang dibawah bantal dan menunggu sehingga cukup untuk membeli aset.
“Jika masyarakat memilih yang kedua maka Alhamdulillah. Selamat daripada sistem jahiliyyah tetapi dalam masa yang sama bangsa lain terus menikmati pertambahan pemilikan aset dan menguasai ekonomi negara.
“Jika memilih yang kedua maka ia lebih mudarat kerana kembali semula ke Jahiliyyah yang mengamalkan sistem riba yang jelas. Maka jika disebabkan oleh kritikan tersebut masyarakat kembali kepada konvensional, adakah si pengkritik akan berasa puas hati,” soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan sama ada masyarakat Malaysia mahu memperlihatkan Islam sebuah agama yang rigid dan tidak waqi’i atau memilih kemudaratan yang lebih ringan antara dua mudarat dalam realiti semasa.
“Bukankah Islam menyuruh kita meninggalkan perkara haram yang jelas? Adakah maqasid syara’ itu menjaga maslahah ummah dan menghindari daripada mudarat?
“Kita boleh duduk sepanjang hari mencari kesalahan perbankan Islam tetapi pemimpin hari ini menyediakan solusi bukan hanya pandai mengkritik,” katanya. -Kedahnews.com