Nik Abduh Yakin PAS Tawan Kedah Semula Pada PRU Ke-14

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz
KUALA LUMPUR - Kemelut isu pertukaran Menteri Besar Kedah yang sedang meruncing dilihat dapat menambahkan lagi keyakinan Pas untuk mengambil alih pimpinan di negeri berkenaan selepas ini.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz berkata, dengan suasana politik pada masa ini, Pas dilihat semakin menunjukkan kematangan dan rakyat dapat melihat bagaimana parti berkenaan berjaya menangani isu-isu berkaitan politik.

Menurut beliau, krisis yang berlaku di Kedah merupakan isu dalaman parti dan Pas sememangnya yakin dapat memberi saingan untuk merampas semula pimpinan di negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Umum 14(PRU14) akan datang.

"Krisis ini secara tak langsung menambahkan lagi keyakinan dan membuka ruang untuk Pas bagi menawan semula negeri Kedah," katanya ketika Majlis Hi Tea Rakan Media Dewan Pemuda Pas, kelmarin.

Dalam pada itu, Nik Abduh yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas memaklumkan bahawa Pas sememangnya sudah menunjukkan keyakinan yang tinggi dengan kepimpinan baharu walaupun parti berkenaan dilanda dengan pelbagai krisis sebelum ini.

Sekiranya Umno Kedah tidak mempunyai sebarang langkah alternatif untuk menguruskan kepimpinan di negeri berkenaan, Nik Mohammad menggesa supaya parti itu memberikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.

"Pas sememangnya dari awal menolak sebarang pertukaran kuasa di tengah jalan.

"Krisis yang berlaku di Kedah pernah terjadi di Selangor dan Perak. Jadi jika Umno kedah sudah tak punyai alternatif untuk uruskan negeri berkenaan, mereka hendaklah kembalikan kepada rakyat," katanya.

Sumber: Sinar Harian