NIKON Lancar 3 Model Terkini Kamera DSLR Baru 2016 Esok


LAS VEGAS – Pengeluar kamera Jepun, Nikon Corporation, hari ini melancarkan tiga kamera baru untuk 2016, termasuk model pertama 360 darjah aksi Realiti Maya (VR).

Dua yang lain terdiri daripada model baharu X-format D5, dan D500, model DX-format yang setanding dengan prestasi D5 memandangkan ia dilengkapi sistem AF 153 mata yang berkuasa tinggi.

Model kamera berkenan dilancarkan serentak oleh Naib Presiden Kanan Pengimejan Nikon Nobuyoshi Gokyu dan Naib Presiden Korporat Tadashi Nakayama di sini sempena CES 2016, pameran elektronik pengguna global yang berlangsung selama empat hari mulai esok.

Gokyu berkata kamera D5, yang dinanti-nantikan oleh industri fotografi itu, mengetengahkan apa yang Nikon cuba lakukan untuk keseluruhan kategori DSLR (Digital Single Lens Reflex), iaitu ‘meningkatkan tahap kelajuan, ketepatan dan kualiti imej’.

D5 dibangunkan untuk kelajuan dan ketepatan dengan sistem AF yang paling canggih menggunakan 153 titik AF, 99 merentas sensor dan ruang AF yang sangat luas. Malah pada 12fps, terdapat masa ‘blackout’ dan pembalikan cermin yang sangat minimum,” katanya.

D5 juga dilengkapi pelbagai sensitiviti ISO sehingga 102400, boleh ditingkatkan kepada Hi 5 (setara ISO 3280000) – julat sensitiviti yang paling tinggi dalam sejarah Nikon.

“Nikon D5 bukan sahaja mengenai kecemerlangan teknikal, malah gabungan teknologi canggih. Kelajuan dan kualiti imej yang halus belum pernah tertumpu secara meluas, menjadikannya kamera sebenar yang ditunggu-tunggu oleh industri,” kata Nakayama.

Sementara itu, D500 yang juga menyokong filem UHD 4K, juga menampilkan enjin baharu pemprosesan imej EXPEED 5, membolehkannya menyediakan imej dan filem berkualiti tinggi dan merealisasikan julat sensitiviti yang luas daripada ISO 100-51200 yang dipertingkatkan kepada Hi 5 (setara ISO 1640000).

D500 ini juga menggunakan skrin sentuh, monitor yang boleh disengetkan, dan memiliki ciri-ciri SnapBridge, suatu aplikasi yang membolehkan imej dikongsi secara sambungan tanpa wayar kepada peranti pintar.


KeyMission 360 ialah kamera aksi yang mampu merakam video 360 darjah sebenar dalam 4K UHD.

Ia mempunyai gabungan sensor imej dan kanta pada dua bahagian bertentangan kamera, dan imej dari setiap satu digabungkan dalam kamera untuk mewujudkan imej 360 darjah realistik berdefinisi tinggi.

Kamera berkenaan kalis air bagi kedalaman 30 meter tanpa penutup berasingan, dan sangat lasak, tahan habuk, kejutan dan suhu rendah.

KeyMission 360 dijangka dipasarkan di seluruh dunia antara Mac dan Mei tahun ini. – BERNAMA