Orang Kampung Di Kuala Ketil Sudah Lama Tunggu Jambatan Baru

Sabri (kiri) dan Idris menunjukkan keadaan jambatan yang rosak.
KUALA KETIL - Penduduk Kampung Padang Setol, Tawar di sini, meminta pihak berkenaan membina jambatan baharu bagi menggantikan jambatan sedia ada yang rosak sejak 15 tahun lalu.

Penduduk, Sabri Yaakob, 54, berkata, jambatan itu adalah laluan utama kira-kira 400 penduduk di sini.

Namun menurutnya, jika hujan, jambatan itu tidak boleh dilalui kerana akan ditenggelami air sungai yang melimpah.

"Bila hujan, kami terpaksa guna jalan sejauh dua kilometer (km) untuk ke bandar utama.

“Masalah ini dah lama berlarutan. Laluan jambatan ini memendekkan jarak perjalanan kami untuk ke pekan atau bandar, tapi bila hujan kami terpaksa pusing semula guna lebuh raya,” katanya di sini kelmarin.

Sabri berkata, selain merumitkan urusan harian penduduk, keadaan jambatan itu juga menyusahkan penduduk bila berlaku kematian.

"Bila ada kematian, kami tak boleh membawa jenazah melalui jambatan ini kerana laluannya tak selamat dan terpaksa guna laluan lebih jauh sebelum dikebumikan.

“Di tengah kampung ini terdapat aliran sungai dan kawasan perkuburan pula hanya hanya terletak di seberang sungai,” katanya.

Idris Latif, 62, pula berkata, sebelum ini jambatan itu selamat digunakan, namun semuanya berubah selepas ia runtuh sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, jambatan itu runtuh kerana berlaku mendapan tanah berikutan sering ditenggelami air bila hujan.

"Kami ada adukan masalah ini kepada pihak berkenaan, tapi tak ada tindakan diambil.

"Sejak itu, kami sepakat baiki jambatan ini sendiri dengan meletakkan batang pinang sambungkan bahagian yang runtuh itu,” katanya.

Idris berkata, diharap selepas ini, pihak berkenaan akan turun padang melihat dan membina jambatan baharu memandangkan jambatan sedia ada sudah tidak selamat digunakan.

Sumber: Sinar Harian