Gambar Hiasan |
MULAI Isnin ini, warga Lembah Klang akan kembali mengharungi ‘pesta lampu brek’ semasa pergi dan balik dari bekerja. Ini adalah rutin kehidupan di kota metropolitan selepas keadaan lalu lintas selesa sepanjang cuti penggal akhir persekolahan sejak minggu pertama November lalu.
Yang pasti, kebanyakan warga kota yang tinggal di pinggir ibu negara akan menghabiskan masa paling tidak sejam untuk sampai ke pejabat jika berkereta. Menyebabkan ada yang bergegas meninggalkan rumah sebelum solat Subuh (kini waktu Subuh bagi Kuala Lumpur adalah 5.56 pagi) bagi memastikan punch card tidak merah.
Dalam keadaan tergesa-gesa itu, tahap kesabaran para pemandu juga cepat mendidih. Pantang silap sedikit, pasti keluar cacian dan makian. Lebih-lebih lagi kalau ada pemandu yang memotong barisan atau ‘terkedek-kedek’ mahu keluar dari simpang dan memotong.
Sebagai penyelesaian, eloklah kita membasahkan lidah dengan zikrullah. Yang paling mudah ucaplah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar. Bagi yang berkereta, hidupkan saja radio, cakera padat (CD), telefon pintar atau MP3 bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang sememangnya mudah dimuat turun.
Berzikir (termasuk membaca al-Quran) membawa ketenteraman pada diri. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:
“Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” - Surah al-Ra’d ayat 28.
Alangkah baik jika manfaatkan tempoh terperangkap dalam kesesakan lalu lintas itu dengan perkara yang bermanfaat. Antaranya turut sama membaca al-Quran sama ada yang dipancarkan menerusi radio atau gajet yang lain. Selain menenteramkan jiwa, kita juga beroleh pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” - Riwayat at-Tirmidzi.
Hal ini juga sebenarnya memberi peluang untuk kita menghafal al-Quran terutama surah-surah pilihan. Caranya kita peruntukkan masa 30 minit sehari semasa terperangkap kesesakan lalu lintas itu dengan membaca al-Quran.
Surah-surah pilihan antaranya al-Mulk, al-Waqiah, al-Kahfi dan Sajdah. Jika diamalkan, insya-Allah kita mampu menghafal surah-surah tersebut dalam masa satu bulan.
Ramai dalam kalangan kita yang tidak sempat membaca al-Quran kerana kesibukan duniawi. Justeru, inilah peluang dan kesempatan yang mesti diambil supaya kita menunaikan tanggungjawab membaca al-Quran. Ada ulama menyebut kita mesti membaca sekurang-kurangnya lima muka surat al-Quran sehari semalam.
Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah gedung ilmu yang perlu kita bukan sahaja baca tetapi bongkar khazanah di dalamnya. Barulah kita menjadi mukmin yang membaca, faham dan mengamalkan ajaran al-Quran.
Selain itu, pembaca al-Quran turut memperoleh kemuliaan dan diberi rahmat kepada ibu bapanya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya, dianugerahkan kedua ibu bapanya mahkota di hari kiamat. Cahayanya (mahkota) lebih baik dari cahaya matahari di rumah-rumah dunia. Kalaulah demikian itu matahari berada di rumahmu (dipenuhi dengan sinarnya), maka apa sangkaan kamu terhadap yang beramal dengan ini (al-Quran).” - Riwayat Abu Daud.
Justeru, marilah kita sama-sama mengamalkannya. Kaedah ini juga mungkin mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di negara kita. Sebabnya, kita lebih tenang dan bertimbang rasa semasa memandu.
Sumber: Utusan