Datuk Seri Mahdzir Khalid |
Pemimpin Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pengakuan bersumpah (SD) sudah memadai untuk menukar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan tidak perlu mengheret istana dalam kemelut politik negeri.
Mahdzir berkata, SD merupakan suatu bukti bagi menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Kedah sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.
"Dalam perkara seumpama ini mesti ada bukti yang kukuh, contohnya sekarang kepimpinan tidak bersetuju dengan pimpinan negeri Kedah.
"Kalau kepimpinan tidak bersetuju, kepimpinan keseluruhan mesti mempunyai bukti yang kuat bagaimana dikatakan menolak," kata Mahdzir yang juga ahli Parlimen Padang Terap semasa ditemui dalam program pecah tanah loji air di kawasannya semalam.
Bekas menteri besar Kedah itu mengulas mengenai pendedahan mengatakan semua 19 Adun Umno sudah menandatangani SD bagi menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz.
Menurut Mahdzir, mana-mana pemimpin perlu membuktikan beliau mempunyai kekuatan yang menunjukkannya masih memiliki sokongan.
"Jadi sudah tentu soalan tadi ada kaitan, tak boleh kata kita tolak tapi kita kena tunjukkan kita ada bukti dan kekuatan," katanya.
Mahdzir bagaimanapun enggan mengakui tentang kewujudan SD itu sebaliknya perkara tersebut perlu ditanya pucuk pimpinan negeri.
Beliau juga menegaskan supaya tidak melibatkan pihak istana dalam kemelut politik negeri Kedah kerana masalah itu mempunyai cara dan kaedah berbeza untuk mencari jalan penyelesaian.
"Ia ada saluran dan ada perkara yang perlu dituruti.
"Apabila kita buat sesuatu ini kita tidak boleh mengheret istana turut terlibat sebab ia adalah institusi di luar daripada kepartian," katanya.
The Star awal hari ini melaporkan 21 Adun Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani SD menolak Mukhriz.
Bagaimanapun 2 Adun MCA menafikan sudah menandantangani SD tersebut.
Bagi menolak Mukhriz sebagai menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 36 kerusi, minimum 19 kerusi diperlukan untuk menunjukkan beliau sudah hilang keyakinan Dewan.
BN mempunyai 21 kerusi di DUN Kedah sementara pembangkang iaitu PAS dan Pakatan Harapan masing-masing memegang 8 dan 7 kerusi.
Sumber: TMI