Pandu Kereta Secara Merbahaya, Lelaki Didenda RM1,700

Gambar Hiasan
IPOH – Mahkamah Majistret Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau penjara dua bulan ke atas seorang lelaki kerana memandu secara cuai dan boleh membahayakan keselamatan orang ramai, November tahun lepas.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu, selepas Mohamed Hazman Mohamed Hashim, 28 mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya. Mohamed Hazman yang bekerja sendiri membayar denda itu.

Terdahulu, Mohamed Hazman yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah meringankan hukuman kerana dia menyesal atas perbuatan yang dilakukannnya itu dan masih menanggung keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Seah Tiong Seng.

Mohamed Hazman didakwa memandu secara berbahaya dari jalan di hadapan Kompleks Badminton, Meru di sini menghala ke simpang tiga lampu isyarat dan kemudian berpatah balik ke jalan di hadapan kompleks berkenaan, kira-kira pukul 2.15 pagi, 8 Nov 2015.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu operasi ‘Ops Cegah Samseng Jalan Raya’ yang dijalankan sekumpulan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Jalan Persiaran Meru Raya 3. – BERNAMA