Parti Amanah Mahu Umat Islam Jangan Taksub, Fanatik Kepada Agama

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadhil
KUALA LUMPUR – Sikap taksub kepada agama punca kepada kejadian keganasan yang berlaku di Paris, Perancis dan Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadhil berkata, rakyat Malaysia terutama umat Islam perlu menolak ajaran dan fahaman yang taksub kepada agama dan bangsa.

“Pemuda Amanah (PAN) percaya keganasan sebegini disumbangkan oleh salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar dan sikap taksub atau fanatik terhadap agama dan bangsa.

“Masyarakat negara ini cukup bimbang agenda ekstrimisme sebegini menyerap masuk ke negara ini. Usaha semua pihak terutama kerajaan bagi membendung ekstrimisme perlu diberikan perhatian serius,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Muhammad Faiz mendakwa , antara pihak yang menyumbang kepada pemikiran taksub kepada agama dan bangsa di Malaysia adalah UMNO.

Beliau mendakwa, hegemoni oleh UMNO itu menyemarakkan semangat ekstrimisme dalam kalangan orang Melayu yang boleh berakhir dengan keganasan.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan baju merah yang sentiasa melaungkan sentimen Islam dan Melayu.

“Sikap pilih bulu kerajaan tidak menguntungkan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya. –Kedahnews.com