Parti Amanah Persoal Hasrat Rayani Air Lantik Ustaz Haron Din


KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal hasrat Rayani Air mahu mendapatkan khidmat Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din sebagai Penasihat Syariah syarikat penerbangan itu.

Pengarah Hal Ehwal Ekonominya, Syed Marwan Mujahid turut mempersoalkan mengapa Rayani Air yang tidak pernah mempunyai panel penasihat syariah atau ahli lembaga syariah tetapi berani menyatakan syarikat penerbangan itu patuh syariah sebelum ini.

“Sejauh mana Rayani Air patuh syariah? Apa definisi patuh syariah? Siapa yang mengesahkan mereka patuh syariah? Adakah cukup pramugari pakai tudung dan tidak hidang arak boleh dipromosikan sebagai patuh syariah.

“Berita terbaru, Datuk Dr Haron Din (Mursyidul Am PAS) nak dilantik sebagai penasihat syariah. Jadi, adakah sebelum ini tiada panel penasihat syariah atau ahli lembaga syariah?” katanya ketika diminta mengulas perkara itu oleh sebuah portal berita.

Syed Marwan turut mengingatkan Rayani Air perlu memastikan aktiviti perniagaan mereka yang didakwa sebagai patuh syariah bebas daripada sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, pelaburan dan sebagainya.

“Dari sudut pengurusan kewangannya pula, adakah Rayani Air tidak terlibat dengan riba dan menggunakan khidmat bank patuh syariah sepenuhnya?” soalnya.

Beliau turut merendah-rendahkan operasi Rayani Air membuat bacaan doa sebelum memulakan penerbangan kerana mendakwa ia sekadar mengisi permintaan pengguna yang mahukan produk patuh syariah.

“Bagi saya, kalau dari sudut ekonomi, Rayani Air cuma ‘basic supply and demand’. Rayani Air mengisi ‘demand’ pengguna yang mahukan produk patuh syariah. Tapi persoalannya, ramai mana yang sebenarnya yang ‘demand’ produk patuh syariah?,” soalnya lagi.

Syarikat penerbangan terbaharu Malaysia, Rayani Air dengan slogan ‘Jom Terbang‘ sebelum ini menerima pujian ramai netizen menerusi lelaman media sosial tempatan ekoran pendiriannya yang amat mematuhi syariah. –Kedahnews.com