Parti Amanah Tidak Teragak-Agak Robek Kubu Kuat PAS Di Kelantan


KOTA BAHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) sedia bertanding mencabar PAS di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14, kata Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata Amanah Kelantan masih berharap PAS Kelantan bekerjasama bersama mereka bagi mengelak berlakunya pertandingan melibatkan kedua-dua parti itu nanti.

“Saya dah suarakan lebih empat bulan lepas (berkenaan kerjasama), tapi sehingga sekarang masih tak ada respons (daripada PAS).

“Saya tak wakili Amanah Pusat untuk kerjasama sebab ramai di kalangan sahabat-sahabat tak setuju dengan pendirian saya ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini dilaporkan sebagai berkata sekiranya Amanah bertanding di negeri itu, ia akan hanya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

“Persiapan kita untuk bertanding akan diteruskan (jika PAS tidak mahu bekerjasama)…(dan) saya tak nak dicatat dalam sejarah politik Kelantan sebagai pihak yang meruntuhkan kerajaan Kelantan yang diasaskan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat),” katanya. – BERNAMA