PAS Disingkirkan Dari Perjanjian Rasmi Pakatan Harapan 9 Januari Ini?


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan mengesahkan bahawa perjanjian rasmi gabungan rasmi antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan dimeterai di Pusat Persidangan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 9 Januari ini tanpa melibatkan PAS.

Pakatan Harapan dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa perjanjian itu akan berlangsung sempena Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan yang julung kali bakal diadakan selepas gabungan baru parti pembangkang itu dibentuk pada tahun lalu.

“Pakatan Harapan akan mengadakan satu Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari pukul 9 pagi.

“Ia bakal menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang mengikat DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam sebuah kesatuan politik,” kata kenyataan itu semalam.


Difahamkan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Menurut mereka, perjanjian rasmi Pakatan Harapan itu kononnya adalah bagi menguatkan lagi persefahaman politik di antara ketiga-tiga parti tersebut.

Tambah mereka, Perjanjian Pakatan Harapan akan memberi fokus kepada perkara utama yang menjadi prasyarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik di antara tiga parti iaitu:

i. Prinsip dan kaedah membuat keputusan.

ii. Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik di antara parti.

iii. Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti.

iv. Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.

v. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi.

vi. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang.

vii. Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari.

"Hasil daripada Perjanjian Pakatan Harapan ini, kami akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar yang jitu dan radikal.

"Ini akan membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016," kata mereka. –Kedahnews.com