PAS Kelantan Keluar Surat Amaran Pada PKR Tidak Sertai Program Amanah

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob
KOTA BHARU - Memanaskan keadaan politik negara, PAS Kelantan dilaporkan telah mengeluarkan surat amaran secara rasminya kelmarin kepada semua kepimpinan PKR di Kelantan supaya tidak menyertai program anjuran Parti Amanah Negara (Amanah).

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob menegaskan bahawa keputusan itu diambil setelah memerhatikan beberapa majlis dan program yang berlangsung di negeri ini turut melibatkan anjuran PKR bersama parti yang dianggap sebagai "pengkhianat" PAS itu.

“Setakat ini, ada tiga program anjuran mereka bersama (PKR - Amanah) iaitu di Dataran Kampung Laut, Chetok dan Ketereh.

“Di Kelantan khususnya, tiada kepentingan untuk PKR bersama Amanah dan sepatutnya perkara sebegitu tidak berlaku.

“Jadi kita minta supaya PKR memahami suasana dan situasi politik di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad dilapor berkata sedemikian ketika satu sidang media selepas Program Penyampaian Watikah dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB -BRI) di Hotel Grand River View, di sini.

Adun Wakaf Baharu itu menjelaskan bahawa keputusan berkenaan juga dibuat PAS Pusat supaya hubungan murni dan baik yang terjalin ini tetap berlaku dengan PKR.

“Setakat ini, kepimpinan PKR memang menghormati kita, tapi bagaimana ini boleh berlaku juga atas nama PKR. Ini yang kita sedang teliti.

“Sedangkan PKR negeri memang memberi perakuan kepada kita bahawa sebaik-baiknya bersama PAS, bukan dengan Amanah.

“Itu kita terpaksa buat kajian sikitlah kerana PKR negeri juga tidak senang dengan apa yang sedang berlaku,” jelasnya seperti yang dipetik dari Sinar Harian.

Ditanya media tentang tindakan susulan sekiranya ada kepimpinan PAS yang ingkar pada amaran itu, Ahmad menegaskan bahawa pihaknya untuk tidak teragak-agak menyerahkan perkara ini kepada Lembaga Disiplin PAS Pusat. -Kedahnews.com