PAS Selangor Akan Tambah 5 Lagi Calon DUN Pada PRU14


KUALA LUMPUR- Parti Islam Semalaysia (PAS) Selangor akan menambah lima lagi calon bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan 25 kerusi.

“Kita akan tambah lagi lima kerusi selepas ini. Sebelum ini, kita bertanding 20 kerusi di Selangor,” katanya.

Pada PRU-13 lalu, PAS berjaya memenangi 15 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhan di DUN Selangor.

Naib Presiden PAS itu juga menyatakan terdapat ancaman baru yang mencabar kedudukan parti itu di Selangor.

“Kali terakhir, ancaman PAS adalah UMNO/ Barisan Nasional. Tetapi sekarang kita mempunyai musuh baru yang kita telahpun memutuskan hubungan.

“Dan saya mendapati mereka telah mengumumkan akan bertanding di lapan kerusi. Ini adalah ancaman. Mereka telah meletakkan diri mereka sama seperti UMNO/BN,” katanya.

Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan Iskandar itu merujuk kepada parti serpihan PAS, Parti Amanah Rakyat (AMANAH) yang menyertai Pakatan Harapan bersama DAP dan PKR.

Tindakan dua daripada ADUN mereka yang mengambil keputusan menyertai AMANAH menyaksikan PAS kini mempunyai 13 ADUN di Selangor. -Kedahnews.com