PAS Ulangi Pendirian Tidak Sertai Barisan Nasional, Tapi...

ALOR SETAR - Majlis Syura PAS memutuskan untuk meneruskan agenda bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO demi untuk kebaikan dan kepentingan masalahat Islam di Malaysia, selaras dengan perjuangan parti berkenaan.

Walau bagaimanapun Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh menegaskan bahawa pihak mereka menolak desas-desus yang mengatakan PAS akan bergabung di dalam parti pemerintah di negara ini, Barisan Nasional (BN), buat masa ini.

"Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional.

"Kami juga telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kebaikan dan ketakwaan demi  memperkukuhkan Islam dan perjuangannya," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Jelas Nik Mohd Zawawi keputusan PAS untuk meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak dibuat berdasarkan pegangan terhadap firman Allah untuk saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

Sebelum ini desas-desus mengenai kerjasama antara PAS dan UMNO kembali hangat diperkatakan selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menghulurkan "silaturrahim" kepada parti pembangkang itu pada Perhimpunan Agung parti itu pada bulan lalu.


Lebih membuat ramai pemerhati teruja apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah menyambut huluran "silaturrahim" itu turut menyatakan PAS sedia bekerjasama dengan UMNO.

Kenyataan tersebut turut diulas oleh pimpinan Kerajaan PAS Negeri Kelantan yang menyatakan bahawa negeri itu sudah lama bekerjasama dengan Kerajaan BN di peringkat Persekutuan.

Desas-desus berkenaan turut dihangatkan dengan kehadiran Mohd Najib dan Abdul Hadi yang berpakaian sedondon di pentas Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang berlangsung akhir tahun lalu. -Kedahnews.com