Antara produk hiliran yang dihasilkan pasangan Abdul Khader dan Azliza. |
KULIM - Sebut saja madu, semestinya semua membayangkan ia hasil daripada lebah madu serangga berbisa dan rasanya sudah tentu manis, namun kini madu kelulut juga telah mula mendapat perhatian.
Pelbagai produk hiliran berasaskan madu kelulut telah mula diusahakan dan memenuhi pasaran mengikut kehendak masyarakat.
Sama ada dalam sektor ubat-ubatan, makanan dan minuman ataupun kecantikan, semua diperkaya dengan ramuan utama madu kelulut yang dipercayai 10 kali lebih berkhasiat daripada madu lebah biasa.
Inisiatif ini juga telah diambil pasangan suami isteri, Abdul Khader Abdul Rahman, 50, dan Azliza Azizi, 44, yang telah mengusahakan ladang kelulut dan mengeluarkan produk hiliran bermanfaat kepada kesihatan sejagat.
Pasangan itu kini telah mempunyai 160 sarang kelulut yang diusahakan di sebidang tanah berkeluasan hampir 1.5 hektar milik keluarga di kawasan dusun buah-buahan di Lot350 Mukim Junjung, dekat sini.
Kelulut lebih mudah dikendali
Abdul Khader berkata, pengendalian kelulut amat mudah malah ia disifatkan sebagai mesra berbanding lebah madu yang lebih sifat menyerang.
Menurutnya, mereka mempunyai empat spesies kelulut iaitu Trigona Apicalis, Trigona Thorasica, Trigona Itama dan Trigona Terminata yang mempunyai perilaku berbeza.
“Malah seni bina rumahnya juga berbeza dan sebab itu ia tidak boleh diternak tetapi dengan menggunakan kaedah mengambil sarang asalnya pada pohon kayu sehingga terpaksa kita memotongnya sebelum dibawa ke ladang perusahaan.
“Spesies kelulut ini juga dikatakan mampu mengenal pasti sarangnya sendiri malah tidak akan sesat kerana mampu mengesan bau yang dihasilkan koloninya,” katanya.
Bekas pesara tentera itu berkata, setiap satu sarang kelulut juga mampu menghasilkan dua kilogram madu setiap kali tuaian dalam tempoh dua minggu.
“Walaupun tubuh lebih kecil berbanding lebah madu, namun ia juga mampu menghasilkan banyak madu dan berbaloi untuk mengusahakannya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, penghasilan madu juga bergantung kepada keadaan cuaca kerana kelulut ini tidak boleh keluar ketika musim hujan.
“Sekiranya hujan, penghasilan madu agak kurang dan madu yang dihasilkan juga lebih cair. Kita juga sukar nak tuai madu kerana khuatir sarangnya rosak apabila terkena air,” katanya.
Malah katanya, warna madu yang dihasilkan kelulut juga tidak sama dan bergantung kepada persekitaran sarang.
“Ada sesetengah madu yang dihasilkan berwarna hitam, ini saya lihat apabila sarangnya berdekatan dengan pokok kelapa sawit, tapi warna agak cerah apabila berada dengan tumbuhan lain seperti pohon durian,” katanya.
Hasilkan kopi kelulut
Abdul Khader berkata, madu kelulut juga mempunyai rasa sedikit masam berbanding madu lebah biasa namun khasiatnya adalah lebih tinggi.
"Serangga seperti labah-labah, semut dan cicak juga memberi ancaman kepada serangga ini sehingga menyebabkan kelulut ini lari dan mati.
“Ancaman luar seperti labah-labah yang membuat sarang akan menyebabkan kelulut terperangkap, jadi pemeriksaan perlu dibuat pada setiap pagi selain semut yang suka menumpang sarang kelulut akan menyebabkan keadaan menjadi tak selesa,” katanya.
Selain itu, Azliza berkata, madu kelulut yang dituai akan dibotolkan untuk dijual dijadikan bahan dalam produk minumannya iaitu Kopi Kelulut selain minyak celak, jus, dan sabun.
“Kami telah ambil langkah untuk mempelbagaikan penggunaan madu kelulut dan memenuhi cita rasa masyarakat sambil memelihara khasiat sebenar madu itu,” katanya.
Menurutnya, ladang perusahaan madu kelulut miliknya juga dibuka kepada pengunjung untuk datang menyaksikan sendiri penternakan serangga itu.
“Kami juga menerima pengunjung dan pelatih yang mahu mengkaji dan merasai pengalaman menuai madu serta menikmati keaslian rasa madu dari sarang kelulut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian