PDNKK Kedah Rampas Gas Subsidi Bernilai RM30,000


ALOR SETAR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah merampas gas bersubsidi bernilai RM30,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Cerok Bakong Dalam, Baling, semalam.

Ketua Penguat Kuasanya, Shahrudin Hamzah berkata tiga lelaki berumur lingkungan 30-an turut ditahan dalam serbuan pukul 2 petang itu bagi membantu siasatan selepas mendapati premis itu dijadikan pusat penyelewengan gas bersubsidi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat 121 tong berisi gas dan 173 tong kosong dipercayai gas bersubsidi dipindahkan ke tong industri seberat 50 kilogram (kg).

"Sindiket dipercayai beroperasi sejak enam bulan lepas di mana mereka memindahkan gas dari tong bersubsidi (12 hingga 14kg) ke tong gas industri untuk pasaran sekitar Sungai Petani dan Baling," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrudin juga percaya kemungkinan pemborong gas bersubsidi terlibat dalam sindiket itu dan pihaknya sedang mengesan pemborong terbabit untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan didenda RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala denda RM2 juta bagi syarikat.  - Bernama