Pelajar Maut Rempuh Kereta Buat U-Turn Di Sungai Petani

Mangsa yang parah maut di tempat kejadian.
SUNGAI PETANI - Seorang pelajar Institut Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas maut, manakala rakannya parah apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta Proton Saga yang membuat pusingan U di Kilometer 38.5 Jalan Alor Setar-Butterworth, di sini, 10.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, mangsa, Syazwan Zaharuddin, 18, parah di kepala dan maut di tempat kejadian.

"Seorang lagi rakannya, Mohd Hafizul Mu'izz Mohd Shokri, 18, parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Dua sekawan ini dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Gurun sebelum gagal mengelak dan merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U," katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan pemandu kereta terbabit yang dipercayai meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mayat dihantar ke hospital HSAH untuk bedah siasat.

Sumber: Sinar Harian