ALOR SETAR - Pelukis mural bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa apabila mural yang menjadi tarikan pelancong di Pekan Melayu, Alor Setar diconteng individu tidak bertanggungjawab.
Pengurus Projek, Mustakim Ismail, 24, berkata dia berasa kecewa apabila mendapat tahu lukisan mural yang dihasilkan bersama dua lagi pelukis, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, 22, dan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi, 29, telah diconteng.
"Sesiapa sahaja bebas untuk meluahkan apa yang mereka rasa di tempat awam, tetapi pada masa yang sama mereka perlu menghormati karya yang telah dihasilkan oleh seseorang artis itu. Fikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan pada orang lain.
"Perasaan kecewa itu ada, namun saya kena berfikiran positif. Saya tidak salahkan orang yang menconteng mural tersebut kerana mungkin dia merasakan ia hanya sebuah lukisan jalanan yang tidak berharga seperti lukisan mahal yang dipamerkan di galeri," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mustakim berkata dia tidak menghalang mana-mana individu yang ingin menconteng lukisannya itu tetapi individu itu perlu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang mereka bertiga telah hasilkan.
"Kadang-kadang orang rosakkan hasil lukisan bersebab, mungkin tidak suka dengan hasil akhir namun ia sama sekali tidak akan mematahkan semangat saya sebagai seorang pelukis," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid turut terkilan dan kecewa dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu.
"Ini merupakan tindakan tidak bermoral. Tambahan pula ia berlaku terhadap negarawan tersohor Kedah dan Malaysia, jadi saya mohon pada orang awam supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.
"Pihak polis juga diharap dapat membuat pemantauan bagi mengelak perkara seperti itu berulang demi menjaga maruah negarawan kita selain menjaga hasil lukisan yang menjadi satu daripada tarikan pelancong sempena Discover Kedah.
"Saya akan meminta pihak tertentu untuk menjalankan pembersihan," katanya.
Lukisan mural yang terletak di Jalan Pekan Melayu di sini, siap pada 6 Jun tahun lepas dan merupakan usaha kerajaan negeri bersempena majlis pelancaran Bulan Pelancongan Legenda Kedah, di Tanjung Chali. - Bernama