“Pendidikan Seks Perlu Segera Diperkenal Di Malaysia” - Ahli Akademik


KUALA LUMPUR – Subjek pendidikan seks dalam kalangan remaja perlu diperkenalkan segera bagi mengurangkan risiko hubungan seksual bebas berlaku, kata beberapa ahli akademik.

Anggota Jawatankuasa Kluster Pembangunan Sosial Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata masalah utama hubungan seks bebas berlaku apabila remaja tidak mempunyai ilmu tentang strategi perkembangan seksual diri masing-masing.

Justeru, katanya pendidikan seks perlu diajar kepada semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga ke hujung remaja sebelum mereka masuk ke alam dewasa.

“Kurikulum berkaitan pengurusan pertumbuhan dan perkembangan seksual seseorang individu harus ada mengikut peringkat perkembangan misalnya awal kanak-kanak (3-5 tahun), pertengahan (6-8 tahun), hujung (9-12 tahun) dan awal remaja (13-15 tahun).

“Setiap peringkat mengalami perkembangan seksual yang berbeza yang wajib ditangani oleh setiap individu secara sihat dan sejahtera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya subjek pendidikan seks mestilah menggunakan nama yang lebih sesuai kerana perkataan seks terlalu sensitif dalam kalangan masyarakat.

Pakar sosial Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula berkata hasil kajian yang dilakukannya mendapati 85 peratus responden remaja yang melakukan hubungan seks didorang atas faktor keseronokan.

Mohammad Shatar berkata, ini menunjukkan mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup jelas tentang implikasi negatif dan kesan yang terpaksa ditanggung sekiranya terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral itu.

Katanya, adalah wajar pendidikan seks didedahkan pada peringkat pendidikan bermula seawal dari tahap tadika seperti mana yang dilaksanakan di beberapa negara maju lain.

“Tidak guna diajar ketika umur belasan tahun…pada peringkat ini mereka sudah matang, boleh membuat keputusan sendiri dan mendapatkan pelbagai maklumat dan diolah mengikut kefahaman masing-masing.

“Isi kandungannya mestilah jelas dan menyeluruh selari dengan peringkat kefahaman setiap golongan sasar,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan pula berpandangan silibus pendidikan seks perlu diberikan penekanan khas dalam subjek berkaitan kesihatan atau agama selain diwajibkan dalam peperiksaan.

Misalnya, kata Hashim, dari sudut kesihatan pendidikan seks boleh dikaitkan dengan risiko jangkitan HIV/AIDS manakala agama pula boleh membawa kepada masalah anak luar nikah.

“Pendidikan seks yang diajar sekarang tidak begitu serius dengan tidak ada sokongan fakta atau statistik kesan hubungan seksual sehingga mengakibatkan remaja memandang remeh isu berkenaan.

“Penambahbaikan silibus pendidikan seks perlu dilakukan agar memberi lebih kesedaran sekali gus menjadikan mereka berwaspada dengan budaya songsang itu,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula berpendapat pencegahan hubungan seksual dapat dilakukan lebih awal melalui bimbingan ibu bapa di setiap rumah.

Beliau berkata, mereka perlu mengawasi dan memantau anak-anak mereka terutamanya selepas meningkat ke alam remaja.

“Fenomena sekarang ibu bapa hanya mengambil berat anak-anak mereka ketika di sekolah rendah…tapi bila masuk sekolah menengah, mereka abaikan.

“Sedangkan ketika itu anak-anak amat memerlukan perhatian di mana keinginan mencuba sesuatu di luar pengetahuan mereka adalah amat tinggi. Budaya malu menegur berkenaan seksual harus dikikis,” katanya. – BERNAMA