Gambar Hiasan |
SEREMBAN - Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) perlu dilatih dan ditauliah untuk menjadi 'pakar judi' dalam usaha membanteras sindiket perjudian haram di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata perkara itu kini di peringkat rundingan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum sebarang keputusan dicapai.
Katanya setakat ini, kepakaran itu hanya dimiliki dalam kalangan pegawai polis namun penguatkuasa JHEAINS juga perlu dilatih bagi membolehkan mereka menentukan sebarang aktiviti di sesuatu premis yang diserbu sama ada bersama pihak polis atau sebaliknya, mempunyai unsur perjudian.
"Saya minta jasa baik Ketua Polis Negara untuk memberi ilmu supaya penguatkuasa jabatan agama Islam juga boleh membuat serbuan dan boleh menjadikan mereka sebagai pegawai rujukan pakar memandangkan kes berkaitan judi sukar untuk dibuktikan di mahkamah tanpa laporan pakar.
"Penguatkuasa jabatan agama Islam perlu diberi pendedahan dan ditauliahkan untuk membanteras perjudian haram yang semakin mencabar dengan wujudnya perjudian dalam talian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamad berkata kekuatan keanggotaan pegawai penguatkuasa JHEAINS telah ditambah seramai 30 orang bagi memastikan pemantauan terhadap sebarang aktiviti haram dapat dibuat dengan lebih efisien.
Beliau berkata pihak berkuasa di negeri ini termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan telah membuat banyak serbuan ke atas premis-premis judi dan akan meningkatkan serbuan dari semasa ke semasa untuk membanteras aktiviti perjudian haram habis-habisan.
"Kita tahu mereka kini bukan sahaja beroperasi di pusat-pusat hiburan keluarga sebaliknya menjadikan kafe atau pusat siber bagi mengaburi mata pihak berkuasa...tetapi jangan anggap kita tidak tahu dan kita memang buat risikan sebelum tindakan diambil.
"Tindakan yang telah kita ambil sebelum ini membuatkan stor penyimpanan bahan bukti pihak polis dipenuhi dengan mesin-mesin judi yang dirampas," katanya. - BERNAMA