Pengubahsuaian Bajet 2016: Ringgit Di Paras Tertinggi Dalam Tempoh 8 Minggu


KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lapan minggu berikutan reaksi positif pelabur terhadap pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016, kata peniaga.

Pada 5 petang semalam, unit tempatan itu diniagakan pada 4.2040/2100 berbanding dolar AS daripada 4.2530/2600, kelmarin.

Seorang peniaga berkata, keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan kawalan modal atau menambat ringgit, disifatkan dapat meredakan kebimbangan serta merangsang pasaran.

Malah, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9477/9525 daripada 2.9779/9849 semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun pada 3.5399/5453 daripada 3.5972/5035, sebelum ini.

Ringgit turut meningkat berbanding pound British kepada 5.9949/9051 daripada 6.0848/0965 serta naik berbanding euro kepada 4.5828/5906 daripada 4.6209/6302, kelmarin.- BERNAMA