Penternak Puyuh Kedah Dakwa Terjejas Lebih 30,000 Ekor Sebulan Lepas GST


POKOK SENA - Kurangnya penglibatan orang Melayu dalam ternakan puyuh sekitar 1990-an telah memberi peluang kepada seorang anak muda untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan pada masa itu.

Mengimbas kenangan tersebut, Mohd Nasir Mahmud, 49, dari Jalan Naka, berkata, pada masa itu, seorang peniaga berbangsa Cina memberi idea kepada mertuanya, Ishak Zainol yang berniaga sayur di Alor Setar agar mencuba ternakan puyuh.

Menurutnya, bekalan puyuh yang kurang pada masa itu juga telah memberi semangat kepada mertuanya untuk mencuba nasib dalam perniagaan berkenaan.

"Melalui khidmat nasihat daripada penternak Cina itu, saya dan mertua memulakan ternakan sebanyak 1,000 ekor puyuh daging sehinggalah berjaya dipasarkan," katanya.

Mohd Nasir berkata, sambutan menggalakkan itu menyebabkan dia mengembangkan lagi ternakan puyuh daging dan telur hingga mampu memasarkan ke seluruh Kedah.

"Kejayaan ini membuka minat ramai penternak puyuh. Kami mula bekalkan anak puyuh pula sehingga sekarang.

"Selepas permintaan bekalan anak puyuh semakin meningkat, kami kurangkan pemasaran daging puyuh supaya tidak menjejaskan pengeluaran pembekal puyuh di kawasan ini," katanya.

Katanya, mereka menumpukan pada perniagaan membekalkan anak puyuh dan telur supaya peniaga kecil yang mendapat bekalan anak ternakan itu tidak terjejas dalam perniagaan.

"Saya juga mula membekalkan anak puyuh ke seluruh Malaysia selepas mendapat kepercayaan dari Jabatan Veterinar Kedah. Pernah saya bekalkan sehingga 60,000 anak puyuh dalam masa sebulan untuk penternak di Malaysia.

“Bagaimanapun pengeluaran anak puyuh pada masa sekarang kian terjejas selepas kerajaan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hingga pengeluaran ternakan itu hanya sekitar 20,000 hingga 30,000 sahaja sebulan,” katanya.

Tambahnya, kejayaannya menternak puyuh juga mendapat perhatian Jabatan Veterinar hingga menjadikan ladangnya sebagai pusat latihan kepada mereka yang berminat menternak puyuh.

"Ramai pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan pusat kemahiran datang melawat bagi mempelajari teknik ternakan puyuh yang mampu membawa pulangan lumayan kepada pengusahanya," katanya.

Sumber: Sinar Harian