Penyanyi Lagu Hotel California Disahkan Meninggal Dunia


GITARIS Eagles yang juga penyanyi lagu Hotel California iaitu Glenn Frey, meninggal dunia pada usia 67 tahun di New York, Amerika Syarikat, pada Isnin (waktu tempatan).

Frey dilaporkan menghidap komplikasi pada paru-paru, usus besar dan sendi.

Beliau pernah menjalani pembedahan pada November 2015, namun tahap kesihatannya semakin merosot selepas pembedahan berkenaan.

Vokalis Eagles, Don Henley berkata, mereka bersedih dan berdukacita dengan berita berkenaan dan menganggap kehilangannya sebagai tiada pengganti.

"Dia seperti saudara, kami adalah keluarga dan seperti kebanyakan keluarga, ada kalanya hubungan kami tidak berjalan baik. Tetapi ikatan kami yang sudah terjalin sejak 45 tahun lalu tidak pernah rosak.

"Kata-kata tidak cukup menggambarkan kesedihan kami dan penghormatan atas semua yang dia berikan pada kami," katanya seperti dipetik dari BBC.

Kumpulan Eagles
Frey merupakan penulis dan turut menyanyikan sejumlah lagu popular Eagles seperti Take It Easy, Tequila Sunrise,Lyin' Eyes,dan Heartache Tonight.

Dia juga turut menulis lagu Hotel California dan Desperado bersama Don Henley yang membawa band tersebut meraih enam Anugerah Grammy.

Ketika Eagles dibubarkan pada 1980, Frey bergerak secara solo dan melancarkan beberapa hit termasuk The Heat Is On dan You Belong to the City.

Frey juga pernah menceburi bidang lakonan dan terlibat dalam filem Miami Vice.

Pada tahun 1994, Eagles bergabung kembali setelah 13 tahun dibubarkan, kumpulan itu mengadakan konsert jelajah Hell freezes Over.

Glen Frey kemudian melancarkan single solo yang kelima dan terakhir berjudul After Hours pada 2012.

Sumber: mStar